KUALA LUMPUR 25 Nov – Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangka Well Chip Group Bhd akan terus mencatat prestasi positif bagi tahun kewangan 2025 hingga 2027, disokong oleh permintaan berterusan terhadap perkhidmatan pajak gadai dan model perniagaan yang berasaskan emas.
Bagi sembilan bulan pertama 2025 (9MFY25), keuntungan teras Well Chip melebihi jangkaan, mencapai 79% peratus daripada unjuran setahun penuh Maybank IB.
Keuntungan teras suku ketiga FY25 meningkat 92% tahun ke tahun kepada RM23.7 juta, sekaligus meningkatkan jumlah keuntungan teras 9MFY25 kepada RM61.9 juta, naik 61% berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Firma penyelidikan itu berkata, keputusan lebih kukuh ini disumbangkan oleh beberapa faktor antaranya pendapatan faedah lebih tinggi hasil daripada jumlah pinjaman pajak gadai yang meningkat, pengembangan margin keuntungan dengan margin kasar pajak gadai meningkat 4.9 mata peratus YoY dan margin runcit & dagangan meningkat 5.4 mata peratus YoY.
“Secara purata, margin kasar gabungan meningkat 9.9 mata peratus kepada 56%,” kata Maybank IB dalam nota kajiannya.
Maybank IBG juga menyemak semula unjuran keuntungan bersih FY25E/26E/27E sebanyak +5.3%/+5.9%/+4.8% dengan mengambil kira jumlah pinjaman pajak gadai lebih tinggi antara 3 hingga 8 peratus bagi FY25–27E, disebabkan harga emas yang kukuh membolehkan pelanggan menebus cagaran dan memohon pinjaman baharu.
“Selain itu, margin kasar gabungan yang lebih tinggi antara 52 hingga 53 peratus, memandangkan perniagaan pajak gadai biasanya mempunyai margin lebih tinggi berbanding segmen runcit & dagangan.
“Hasil diunjurkan bagi FY25E meningkat kepada RM273 juta, FY26E (RM287.2 juta) dan FY27E (RM304.5 juta).
“Keuntungan bersih teras pula diunjurkan RM82.3 juta untuk FY25E, RM85.8 juta untuk FY26E dan RM87.3 juta untuk FY27E,” kata Maybank IB.
ARTIKEL BERKAITAN: Well Chip raih untung bersih RM23.7 juta pada 3QFY25, disokong kenaikan hasil pajak gadai
Segmen pajak gadai Well Chip menyumbang RM94 juta hasil pada 9MFY25, meningkat 41% YoY, manakala segmen runcit & dagangan mencatat RM102.4 juta, meningkat 2.6% YoY.
Margin kasar keseluruhan pula meningkat daripada 46.2% pada 9MFY24 kepada 56.1% pada 9MFY25.
Bagi rancangan pengembangan, Well Chip menyasarkan membuka tujuh cawangan pajak gadai baharu dalam tempoh 24 bulan selepas penyenaraian pada Julai 2024.
Namun, selepas 16 bulan, hanya satu cawangan baharu dibuka pada Jun 2025, manakala enam lagi masih menunggu kelulusan lesen.
Namun, Maybank IBG menegaskan pertumbuhan keuntungan syarikat lebih sensitif kepada modal kerja berbanding jumlah cawangan baharu.
Berdasarkan penilaian, Maybank IBG mengekalkan saranan Beli untuk saham Well Chip dengan harga sasaran baharu RM1.83, meningkat daripada RM1.79 sebelumnya, berasaskan PBV 2.0 kali pada hujung FY26E.
Asas penilaian termasuk purata ROE empat tahun 14.5% pertumbuhan keuntungan purata 3% dan kos ekuiti 8.6%.
Maybank IBG turut menekankan beberapa risiko yang mungkin menjejaskan prestasi dan penilaian saham Well Chip, termasuk risiko siber, turun naik harga emas, transaksi pajak gadai menyalahi undang-undang, keperluan modal tunai dan risiko keselamatan fizikal bagi wang tunai serta barangan bernilai. - DagangNews.com








