KUALA LUMPUR 24 Nov – Well Chip Group Berhad berjaya mencatatkan prestasi kewangan kukuh bagi tempoh suku ketiga untuk tahun kewangan 2025 (3QFY25), yang berakhir pada 30 September 2025.
Kumpulan pemegang pelaburan dalam perniagaan pajak gadai dan perdagangan barang kemas itu berkata, keuntungan bersih dan jumlah pendapatan komprehensif yang dicatatkan sebanyak RM23.7 juta.
Ia turut melaporkan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM32.44 juta bagi suku semasa, didorong oleh faktor peningkatan hasil untuk aktiviti pajak gadai dan keuntungan kasar yang selari.
"PBT ini merupakan lonjakan ketara berbanding RM14.03 juta yang pernah dicatatkan pada suku yang sama tahun sebelumnya (3QFY24)," kata Well Chip dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia.
Bagi 3QFY25, ia mencatatkan hasil sebanyak RM70.47 juta, dan peningkatan pendapatan ini menunjukkan pertumbuhan sebanyak RM22.77 juta atau 47.7% berbanding tempoh suku tahun yang sebelumnya.
Peningkatan hasil kumpulan tersebut bagi suku itu 3QFY24 disumbangkan terutamanya daripada segmen perkhidmatan pajak gadai meningkat sebanyak RM14.34 juta atau 61.8% kepada RM37.54 juta.
Lonjakan itu jelas Well Chip, adalah disebabkan oleh kenaikan dalam penyediaan pinjaman pajak gadai, manakala hasil segmen peruncitan dan perdagangan barang kemas dan emas juga meningkat.
"Ia naik sebanyak RM8.43 juta atau 34.4% kepada RM32.92 juta, didorong terutamanya oleh peningkatan dalam harga emas sepanjang tempoh tiga bulan tersebut berbanding suku sebelum itu," katanya.
Hasil kumpulan meningkat sebanyak RM4.58 juta atau 6.9% kepada RM70.47 juta daripada RM65.89 juta yang dicatatkan pada suku sebelumnya, manakala PBT naik sebanyak RM4.10 juta atau 14.5%.
Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan berakhir 30 September 2025, hasil kumpulan meningkat RM29.88 juta atau 18.0% kepada RM196.32 juta, berbanding RM166.44 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Untung bersih kumulatif bagi tempoh tersebut ialah RM61.88 juta, dan Well Chip komited terhadap strategi pertumbuhan proaktif, menggabungkan pengembangan organik dan pengambilalihan disasarkan.
"Dalam usaha mengembangkan jejak pasaran, kumpulan menyelesaikan pengambilalihan tiga syarikat dengan tiga cawangan pajak di Perak, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 27 buah," katanya.
Jelasnya, perniagaan yang diperoleh ini dijangka menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan kumpulan itu, selain ia memulakan operasi kedai baharunya di Pekan Nanas, Johor pada Jun 2025.
Di samping itu, kumpulan tersebut juga telah memohon lesen daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi membuka lima cawangan pajak gadai di Johor dan dua di Melaka.
Pada masa sama, Well Chip yang ditubuhkan pada 2023 juga melabur dalam strategi pemasaran digital disasarkan untuk mengukuhkan kehadiran jenama dan meningkatkan jualan perniagaan emas runcit.
Sehingga 21 November 2025, kumpulan menggunakan RM145.0 juta daripada hasil kasar tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak RM172.50 juta dengan RM4.0 juta digunakan untuk pengembangan cawangan.
Baki dana belum digunakan ditempatkan dalam instrumen pasaran wang, dan RM8.5 juta hasil IPO dimanfaatkan bagi modal kerja menyokong permintaan pinjaman pajak gadai di cawangan yang sedia ada.
Kumpulan berkenaan yang berpangkalan di Petaling Jaya, Selangor dan memiliki 27 cawangan berkata, usaha itu tidak menjejaskan rancangan pengembangan cawangan yang dirancang. - DagangNews.com








