Wawasan Dengkil dapat kontrak RM116 juta daripada Landasan Angsana untuk kerja tanah di Bandar Serendah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Wawasan Dengkil dapat kontrak RM116 juta daripada Landasan Angsana untuk kerja tanah di Bandar Serendah

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 Mac – Wawasan Dengkil Holdings Berhad melalui anak syarikatnya, Wawasan Dengkil Sdn. Bhd. (WDSB) telah meraih kontrak RM11.4 juta daripada Landasan Angsana Sdn Bhd (LASB) bagi melaksanakan kerja-kerja tanah dan kerja berkaitan di UMW High Value Manufacturing Park, Bandar Serendah, Selangor.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Wawasan Dengkil berkata surat anugerah (LOA) telah diterima WDSB pada 6 Mac 2026  melibatkan tiga fasa projek di Precinct 5C, Zon Utara, dengan keluasan keseluruhan 146.85 ekar. 

 

“Nilai kontrak sementara bagi projek ini adalah RM116.38 juta. Tarikh mula kerja dan penguasaan tapak akan dimaklumkan oleh LASB, manakala tempoh kerja WDSB akan mengikuti tempoh kontrak utama projek tersebut,” katanya dalam makluman itu.

 

Tempoh liabiliti kecacatan ditetapkan selama 12 bulan bermula dari tarikh sijil siap dikeluarkan di bawah kontrak utama. Semua kerja-kerja dijalankan mengikut terma dan syarat tambahan yang ditetapkan dalam LOA.

 

WDSB ialah syarikat pembinaan yang menyediakan perkhidmatan kejuruteraan awam, kerja tanah, perdagangan bahan binaan, serta penyewaan jentera dan kenderaan komersial. 

 

LASB pula merupakan kontraktor yang beroperasi di Kuala Lumpur dan terlibat dalam pelbagai projek pembinaan di Malaysia. Pelantikan WDSB sebagai sub-kontraktor adalah sebahagian daripada pelaksanaan kontrak utama LASB di kawasan tersebut.

 

Wawasan Dengkil menjangkakan projek ini akan memberi impak positif kepada aset bersih per saham, pendapatan per saham, dan struktur kewangan syarikat sepanjang tempoh pelaksanaan. 

 

Pelantikan ini tidak menjejaskan modal saham atau pemilikan pemegang saham utama Wawasan.

 

Syarikat menegaskan tiada risiko luar biasa dijangka selain risiko operasi biasa. Langkah-langkah mitigasi akan diambil sekiranya sebarang isu timbul sepanjang pelaksanaan projek.

 

Tiada pengarah, pemegang saham utama atau orang berkaitan mereka yang mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam projek ini.

 

Lembaga pengarah Wawasan berpendapat pelaksanaan projek ini adalah dalam urusan perniagaan biasa syarikat dan menerima LOA ini adalah sejajar dengan kepentingan terbaik Wawasan Dengkil. - DagangNews.com