KUALA LUMPUR 10 April — Pencapaian Wasiyyah Shoppe Berhad dalam perkhidmatan pengurusan pusaka umat Islam lebih dua dekad lalu telah berjaya melonjakkan imej Malaysia menjadi sebagai hab perancangan harta secara patuh syariah yang terkemuka di dunia.
Pengerusi Malaysia International Islamic Financial Centre (MIFC), Tan Sri Azman Mokhtar berkata, kejayaan Wasiyyah mengharungi perjalanan panjang sejak 2004 selaku pelopor industri itu di negara ini ialah usaha yang wajar dihargai dan dicontohi.
Beliau yang mengikuti rapat perkembangan Wasiyyah turut berbangga apabla melihat pencapaiannya ketika ini dengan merekodkan lebih 100,000 individu Muslim telah menggunakan perkhidmatannya dan melibatkan nilai aset dalam pewarisan melebihi RM45 bilion.

"Di Malaysia tidak banyak badan profesional milik bumiputera yang bukan sahaja mampu bertahan malah meningkat prestasi saban tahun terutama dalam industri ini. Tahniah saya ucapkan kepada pihak Wasiyyah atas usaha tanpa mengenal penat lelah," katanya.
Beliau berucap demikian sebelum merasmikan logo baharu Wasiyyah selaras dengan penjenamaan semula dan penstrukturan korporat serta pengumuman pelantikan pelakon yang juga usahawan terkenal, Datuk Rosyam Nor sebagai duta sulung syarikat tersebut.
Turut hadir pada acara berkenaan yang diadakan di Hotel Concorde, Shah Alam itu ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Wasiyyah, Datuk Ahmad Tajudin Abdul Rahman, serta Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Wasiyyah, Ariffin Sabirin.
Mengulas lanjut, Azman berkata, dengan nilai harta pusaka tertunggak di Malaysia melebihi RM90 bilion, kes-kes yang menyebabkan perbalahan keluarga semakin kronik serta pastinya lebih mencabar kerana portfolio aset amat rumit dan rencam.

"Saya berbangga dengan Wasiyyah terutamanya usaha pendigitalan dan penerokaan pasaran luar. Jika sebelum ini, Malaysia dikenali sebagai hab kewangan Islam dunia, melalui Wasiyyah, saya yakin kita menjadi hab perancangan harta syariah global," katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa pihak MIFC sendiri akan cuba melihat potensi bagaimana perancangan harta secara patuh syarak ini boleh diperkukuhkan lagi dengan dijadikan seiring sebagai komponen Utama ekosistem kewangan Islam semasa.
Sehubungan itu, Azman percaya peluncuran penjenamaan baharu Wasiyyah dengan imej yang lebih segar dan menarik adalah satu langkah strategik serta dapat mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai peneraju industri tersebut dalam pasaran tempatan. - DagangNews.com








