KUALA LUMPUR 10 Julai - Syarikat tenaga boleh diperbaharui, Wasco Greenergy Bhd merancang untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Menurut draf prospektus yang dikeluarkan hari ini, tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu akan melibatkan terbitan awam sebanyak 150 juta saham biasa baharu.
Daripada jumlah itu, sehingga 119.5 juta saham akan ditawarkan kepada pelabur institusi dan pelabur terpilih tempatan termasuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan Perdagangan dan Industri.
Baki 30.5 juta saham pula akan diperuntukkan kepada pengarah dan kakitangan Wasco serta anak syarikatnya, pemegang saham layak dan orang awam di Malaysia.
Wasco memaklumkan 62.3 peratus daripada hasil IPO akan digunakan bagi tujuan pengembangan melalui pelaburan, pengambilalihan dan kerjasama strategik yang berkaitan dengan pemilikan serta operasi loji janakuasa stim berasaskan biojisim.
Sebanyak 5.7 peratus pula akan digunakan untuk mengembangkan operasi syarikat di Indonesia.
Baki hasil akan digunakan untuk perbelanjaan modal, pendigitalan sistem dan proses perniagaan, penyelidikan dan pembangunan serta perbelanjaan penyenaraian.- DagangNews.com








