Wasco Greenergy dapat kelulusan SC disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Wasco Greenergy dapat kelulusan SC disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 26 Sept - Wasco Berhad menerima kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC) bagi cadangan penyenaraian anak syarikat tenaga boleh diperbaharui, Wasco Greenergy Berhad (Greenergy), di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

Dalam pemakluman di Bursa Malaysia, Wasco berkata kelulusan itu tertakluk kepada beberapa terma dan syarat yang digariskan dalam surat SC bertarikh 25 September 2025.

 

Menjelang penyenaraian, Greenergy akan memperoleh baki 40% pegangan ekuiti dalam WTSB bernilai RM19.3 juta.

 

Pertimbangan pembelian tersebut akan dilaksanakan melalui terbitan 14.4 juta saham baharu Greenergy pada harga RM1.34 sesaham.

 

Langkah ini akan diikuti dengan terbitan bonus sebanyak 295.6 juta saham baharu Greenergy, kata syarikat itu lagi.

 

Struktur IPO

Tawaran awam permulaan (IPO) akan melibatkan sehingga 150 juta saham Greenergy, mewakili 30% daripada modal saham diperbesar sebanyak 500 juta unit. Tawaran itu merangkumi:

  • Terbitan awam sebanyak 75 juta saham baharu (15%)

  • Tawaran jualan sehingga 75 juta saham sedia ada (15%)

 

Saham-saham tersebut akan diagihkan kepada dua kategori utama:

  • Tawaran runcit (30.5 juta saham, 6.1%) untuk orang awam Malaysia, pengarah dan pekerja yang layak daripada Greenergy serta Kumpulan Wasco, selain pemegang saham Wasco yang layak.

  • Tawaran institusi (119.5 juta saham, 23.9%), dengan 62.5 juta saham diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), manakala baki 57 juta saham ditawarkan kepada pelabur institusi lain serta pelabur terpilih.

 

Penyenaraian di Pasaran Utama

Selepas selesai proses tersebut, Greenergy akan mempunyai modal saham diterbitkan dan diperbesar sebanyak 500 juta unit, kesemuanya akan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

 

Wasco turut memaklumkan CIMB Investment Bank selaku penasihat utama bersama Greenergy perlu memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap Garis Panduan Ekuiti dan Garis Panduan Prospektus SC sepanjang proses penyenaraian itu.

 

Cadangan penyenaraian Greenergy dijangka dapat membuka nilai kepada pemegang saham serta memperkukuh kedudukan Wasco dalam sektor tenaga bersih, selaras dengan aspirasi Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon. - DagangNews.com