VisDynamics terus catat kerugian bersih RM3.07 juta bagi 1QFY26 berikutan kemerosotan jualan mesin | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

VisDynamics terus catat kerugian bersih RM3.07 juta bagi 1QFY26 berikutan kemerosotan jualan mesin

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 12 Mac - VisDynamics Holdings Berhad mencatatkan kerugian bersih mencecah sebanyak RM3.07 juta bagi tempoh suku kewangan pertama yang berakhir pada 31 Januari 2026 (1QFY26).


Prestasi negatif ini disebabkan terutamanya oleh penurunan ketara dalam jualan mesin syarikat dengan pendapatan merosot kepada RM892,000, penyusutan 73% berbanding RM3.33 juta pada 1QFY25.


Kumpulan berkenaan menambah, kerugian bersih dicatatkan pada tiga bulan berkenaan adalah lebih tinggi berbanding kerugian bersih kira-kira RM949,000 pada suku yang sama tahun kewangan sebelumnya.


"VisDynamic turut mencatatkan kerugian sesaham (EPS) sebanyak 1.19 sen bagi suku tersebut, naik daripada kerugian 0.37 sen pada tahun sebelumnya," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.


Meskipun mencatatkan kerugian pada 1QFY26, kumpulan itu mengisytiharkan dividen akhir satu peringkat sebanyak 0.5 sen sesaham bagi tahun kewangan 2025 yang berakhir pada 31 Oktober 2025.
 

VisDynamics


Bagaimanapun jelasnya, keputusan agihan berkenaan masih lagi tertakluk kepada kelulusan daripada majoriti pemegang saham dalam mesyuarat agung tahunan syarikat tersebut pada 9 April 2026.


Menyentuh mengenai prospek masa hadapan kumpulan, pihak pengurusan VisDynamics kekal optimis terhadap tahun kewangan 2026, didorong oleh unjuran pertumbuhan pasaran semikonduktor global.


"Ini terutamanya melalui pelaburan berkaitan kecerdasan buatan (AI) yang memerlukan cip berkuasa tinggi, sekali gus dijangka meningkatkan permintaan tambahan dari pasaran semasa," ujarnya lagi.


Syarikat itu juga sedang dalam proses membina infrastruktur baharu melibatkan bangunan kilang dengan peningkatan nilai hartanah, loji dan peralatan kepada RM18.7 juta setakat Januari 2026. - DagangNews.com