KUALA LUMPUR 1 Okt - Vestland Bhd syarikat pembinaan yang disenaraikan di Bursa Malaysia kurang tiga tahun lalu, telah menerima tawaran pengambilalihan wajib (MGO) daripada pemegang saham utamanya pada harga 34 sen sesaham, iaitu diskaun lebih 32% daripada harga pasaran semasa.
Tawaran tersebut tercetus selepas tiga pemegang saham utama syarikat – termasuk Pengarah Urusan Kumpulannya dan pemegang saham terbesar, Datuk Liew Foo Heen menandatangani perjanjian pemegang saham dan mewujudkan hubungan pihak bertindak secara sepakat terhadap Vestland.
Perjanjian itu dimeterai antara Foo Heen, Pengarah Eksekutif Vestland Wong Sai Kit, serta pemegang saham kedua terbesar syarikat, Noble Pinnacle (Holding) Sdn Bhd (NPH) dan pemiliknya, Datuk Soo Sze Ching.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat memberitahu perjanjian berkenaan bertujuan untuk mengawal hak dan tanggungjawab mereka sebagai pemegang saham Vestland, serta mentadbir aspek pengurusan dan perjalanan am kumpulan.
Sebahagian daripada perjanjian itu melibatkan penjualan sebanyak 30.69 juta saham atau pegangan 3.25% oleh Foo Heen dan Sai Kit kepada NPH pada harga RM10.43 juta, bersamaan 34 sen sesaham, menjadikan pegangan NPH meningkat kepada 33.05%.
Kenaikan pegangan oleh NPH menyusuli kemasukannya ke dalam Vestland pada November tahun lalu, apabila ia memperoleh 29.8% pegangan daripada Sai Kit menerusi pelupusan luar pasaran.
Foo Heen, Sai Kit dan NPH, bersama-sama pihak yang bertindak secara sepakat, telah menyatakan hasrat untuk mengekalkan status penyenaraian Vestland, menurut pemfailan tersebut.
Harga pengambilalihan sebanyak 34 sen sesaham, yang mewakili diskaun 32.7% berbanding harga penutup 50.5 sen, turut ditawarkan kepada pemegang saham minoriti lain susulan pencetusan MGO.
Pemilik NPH, Sze Ching, juga mempunyai pegangan langsung sebanyak 0.12%, serta kepentingan tidak langsung sebanyak 0.03% melalui Noble Pinnacle Sdn Bhd.
Untuk rekod, Vestland disenaraikan pada harga IPO 33 sen sesaham pada Januari 2023.
Syarikat pembinaan ini mencatatkan purata pertumbuhan keuntungan bersih tahunan sebanyak 63% antara tahun 2022 hingga 2024.
Bagi separuh pertama tahun 2025, keuntungan bersih syarikat meningkat 14.5% tahun ke tahun kepada RM18.5 juta atau 1.96 sen sesaham, manakala hasil meningkat 36.5% kepada RM370.58 juta, berbanding RM271.5 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Saham Vestland ditutup pada 50.5 sen pada hari Rabu, memberikan kumpulan tersebut modal pasaran sebanyak RM472.29 juta, dengan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) terkini sebanyak 11.67 kali. DagangNews.com








