KUALA LUMPUR 29 April – RHB Bank Berhad dan PETRONAS memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) bagi bekerjasama dalam pelaksanaan Program Pembiayaan Vendor Mampan (SVFP) yang bertujuan memperkukuh ekosistem vendor minyak dan gas di Malaysia.
Program ini merupakan sebahagian daripada Program Sokongan Pembekal PETRONAS (PSSP) yang memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan daya tahan, daya saing dan tahap kesiapsiagaan kelestarian dalam kalangan vendor Perkhidmatan dan Peralatan Minyak & Gas (OGSE).
Melalui inisiatif ini, vendor tempatan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan dibantu untuk menyesuaikan diri dengan keperluan peralihan tenaga global yang semakin memberi penekanan kepada aspek rendah karbon dan kelestarian.
Pada masa yang sama, program ini bertujuan memastikan vendor terus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, penciptaan pekerjaan serta peningkatan keupayaan teknikal dalam sektor minyak dan gas.
Inisiatif ini juga selari dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menekankan kepentingan mobilisasi pembiayaan serta pengukuhan kapasiti industri tempatan dalam menyokong peralihan tenaga yang lebih inklusif.
Menurut RHB, pendekatan pembiayaan ini direka untuk memastikan vendor berada pada tahap kesiapsiagaan yang berbeza dapat menerima sokongan yang bersesuaian dengan keperluan dan kapasiti masing-masing.
Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan RHB Banking Group, Angus Salim Amran berkata peralihan tenaga perlu dilaksanakan secara adil supaya semua pihak dalam rantaian nilai dapat bergerak seiring, termasuk vendor kecil dan sederhana.
Beliau berkata kerjasama dengan PETRONAS ini akan membolehkan RHB menyediakan pembiayaan mampan yang lebih praktikal bagi membantu vendor memperkukuh daya tahan serta meneroka peluang baharu dalam ekonomi rendah karbon.
Vendor yang menyertai program di bawah PSSP akan berpeluang mendapatkan akses kepada pembiayaan yang disesuaikan bagi menyokong operasi perniagaan, kesinambungan pertumbuhan serta penambahbaikan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
RHB menyatakan bahawa inisiatif ini diharap dapat menyokong matlamat peralihan tenaga Malaysia sambil memastikan industri OGSE tempatan kekal berdaya saing dalam persekitaran global yang semakin berubah ke arah kelestarian.- DagangNews.com








