KUALA LUMPUR 28 Okt - Velesto Energy Bhd dijangka mampu membayar dividen lebih tinggi selepas menyelesaikan proses pengurangan modal berjumlah RM1.2 bilion pada Ogos 2025, kata Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB Research).
Menurut bank pelaburan itu, proses kedua selepas pengurangan modal pertama berjumlah RM2.21 bilion pada 2020 dijangka meningkat pendapatan terkumpul syarikat kepada RM1.06 bilion, manakala kerugian terkumpul menyusut daripada RM518.9 juta pada FY2023 kepada RM134.6 juta pada FY2024.
Lebih menarik, Velesto kini mencatat kedudukan tunai bersih RM69.6 juta berbanding hutang bersih RM226 juta pada FY2023.
"Ketiadaan perbelanjaan modal besar pada FY2026–FY2027, susulan kerja tinjauan berkala khas (SPS) yang signifikan selesai sepanjang tiga tahun lepas, mengukuhkan keyakinan terhadap kemampuan syarikat untuk membayar dividen lebih tinggi," kata bank pelaburan itu dalam nota penyelidikan terkini.
HLIB Research telah menaikkan ramalan dividen sesaham (DPS) kepada 2.5 sen bagi FY2025–FY2027.
Fokus Velesto terhadap disiplin kos dan kecekapan operasi turut dipuji HLIB. Sejak 2019, syarikat mengurangkan tenaga kerja di darat sebanyak 31 peratus dan hampir separuh inventori melalui kawalan perolehan ketat.
Pelaksanaan sistem perancangan sumber perusahaan (ERP) pada 2022 dan penggunaan teknologi penyelenggaraan ramalan juga meningkatkan kecekapan operasi serta mengurangkan waktu henti aset.
HLIB Research mengekalkan ramalan keuntungan FY2025, mengambil kira kadar penggunaan armada meningkat kepada 88 peratus pada separuh kedua 2025. Namun, ramalan FY2026–FY2027 diturunkan masing-masing 6.2 dan 1.1 peratus berikutan anggaran kadar sewa harian (DCR) lebih konservatif di bawah kontrak jangka panjang.
Firma itu menurunkan penarafan Velesto kepada “Hold” daripada “Buy”, dengan sasaran harga lebih tinggi iaitu 24 sen daripada 22 sen, berdasarkan gandaan harga-perolehan 12 kali — sedikit melebihi purata rakan domestik 11 kali, berikutan kebolehjangkaan dividen lebih baik dan risiko lebih rendah pasca pengurangan modal.
Dalam laporan itu, HLIB Research menekankan potensi kenaikan saham terhad kerana pertumbuhan keuntungan dijangka normalisasi seiring DCR lebih rendah pada FY2026–FY2027, walaupun baki kunci kira-kira dan prospek dividen tetap kukuh.
HLIB Research berkata tumpuan Velesto kepada kontrak jangka panjang akan menyokong kebolehjangkaan keuntungan.
Buku tender semasa bernilai RM4.3 bilion, dengan 87 peratus bidaan untuk kontrak sekurang-kurangnya 12 bulan. - DagangNews.com








