KUALA LUMPUR 20 Mei — Velesto Energy Berhad telah dianugerahkan kontrak penggerudian lebih daripada 40 telaga minyak oleh Phu Quoc Petroleum Operating Company (PQPOC) di Vietnam.
Kumpulan tersebut berkata, di bawah kontrak baharu berkenaan, mereka akan menggunakan pelantar NAGA 4 bagi memudahkan segala aktiviti penggerudian kesemua telaga yang terlibat.
Katanya, operasi itu dijangka bermula pada separuh pertama 2026 dengan kontrak tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan kumpulan berkenaan pada 2026 dan 2027.
Presiden Velesto, Megat Zariman Abdul Rahim berkata, kontrak ini mencerminkan keyakinan secara berterusan terhadap keupayaan operasi serta perkhidmatan yang selamat dan berkualiti tinggi.
“Kami berterima kasih kepada PQPOC atas pemberian kontrak ini dan berbangga menjadi rakan kongsi mereka dalam projek yang sangat penting itu," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Beliau menambah, kontrak itu turut menyokong tumpuan Velesto untuk meraih projek pertambahan nilai yang mengukuhkan keterlihatan pendapatan dan mengoptimumkan penggunaan armada.
Kontrak jangka panjang ini menandakan pengembangan strategik kumpulan itu ke pasaran rantau Asia Tenggara, khususnya Vietnam serta berharap dapat menyumbang kepada kejayaan seterusnya.
.
Dengan kemenangan terbaharu ini kata Megat Zariman, Velesto diyakini mampu terus menunjukkan daya saing dan kedudukan yang kukuh dalam industri penggerudian besar peringkat serantau.
NAGA 4 ialah pelantar penggerudian kaki bebas premium dengan keupayaan kedalaman penggerudian 9,144 meter dan mempunyai kedalaman air operasi pada kadar 122 meter. - DagangNews.com








