KUALA LUMPUR 27 April – Uzma Bhd meraih kontrak baharu selama lapan tahun daripada PETRONAS Carigali Sdn Bhd bagi projek huluan (upstream) di bawah operasi pengembangan semula medan minyak Bayan Fasa 3.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Uzma berkata kontrak berkenaan diberikan kepada anak syarikat milik penuhnya, Uzma Engineering Sdn Bhd, namun nilai keseluruhan kontrak tidak didedahkan.
“Kontrak tersebut mula berkuat kuasa pada 27 Mac 2026 dengan tempoh pelaksanaan selama lapan tahun termasuk pilihan lanjutan dua tahun tambahan.
“Skop kerja melibatkan reka bentuk, kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan penghantaran satu unit modul suntikan air mudah alih dalam tempoh fasa awal selama satu tahun.
“Selepas itu, Uzma akan melaksanakan kerja pemasangan dan pentauliahan sebelum meneruskan operasi serta penyelenggaraan (O&M) bagi tempoh tujuh tahun berikutnya,” kata Uzma dalam makluman itu.
Sistem suntikan air tersebut merupakan sebahagian daripada kaedah pemulihan minyak dipertingkatkan atau enhanced oil recovery (EOR), yang digunakan untuk mengekalkan tekanan takungan dan meningkatkan kadar pengeluaran minyak.
Menurut Uzma, modul mudah alih itu direka untuk memudahkan penggunaan di lapangan minyak dengan kecekapan operasi yang tinggi serta mampu beroperasi dalam persekitaran mencabar.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Uzma, Datuk Kamarul Redzuan Muhamed berkata penganugerahan kontrak ini mencerminkan keupayaan kumpulan dalam menyediakan perkhidmatan bersepadu bagi menyokong pengoptimuman pengeluaran minyak pelanggan.
Beliau berkata kontrak tersebut juga dijangka menyumbang kepada pendapatan berulang kumpulan, selaras dengan strategi Uzma untuk memperkukuh portfolio jangka panjang yang lebih stabil dan berdaya tahan.
Pada masa sama, beliau berkata kejayaan ini turut mengukuhkan kedudukan Uzma dalam segmen pengeluaran minyak, sekali gus menyokong pelan pertumbuhan kumpulan di bawah fasa pembangunan strategiknya.
Baru-baru ini, Uzma turut memperoleh tiga kontrak daripada PETRONAS Carigali bagi perkhidmatan dan peralatan ‘coiled tubing’ yang mengukuhkan lagi hubungan berterusan syarikat dengan pelanggan utama tersebut.
Pada sesi dagangan tengah hari Isnin, saham Uzma susut 0.5 sen atau 1.14 peratus kepada 43.5 sen dengan nilai pasaran sekitar RM262.58 juta. - DagangNews.com








