KUALA LUMPUR 6 April – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus menerajui inovasi pendidikan dengan menubuhkan Pusat Kecemerlangan Kepimpinan Kecerdasan Buatan (AI-LEAD UTeM), pertama seumpamanya di Malaysia.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata pusat ini bertujuan memperkukuh peranan universiti sebagai peneraju dalam melahirkan pemimpin masa depan yang celik teknologi dan mampu memimpin era kecerdasan buatan secara beretika dan strategik.
“AI-LEAD UTeM dijangka menjadi pusat pemikiran dan rujukan di peringkat nasional, serantau dan global, dengan aktiviti meliputi latihan dan pembangunan, penyelidikan, perundingan, pembangunan polisi serta pemindahan ilmu kepimpinan berteraskan kecerdasan buatan.
“Penubuhan pusat ini sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI, Pelan Strategik UTeM 2026–2030, serta memenuhi keperluan industri dan negara dalam membangunkan kepimpinan berasaskan teknologi,” katanya dalam satu kenyataan.
Secara fizikal, AI-LEAD UTeM telah memulakan operasinya sejak hujung Februari lalu dan dibangunkan melalui tiga fasa. Fasa pertama menumpukan kepada penubuhan pusat, pelantikan pengurusan, serta pembangunan polisi dan pelan strategik.
Fasa kedua melibatkan pelaksanaan latihan, penyelidikan, konsultasi dan kolaborasi dengan industri, manakala fasa ketiga menumpukan kepada pensijilan, pengantarabangsaan, penjanaan pendapatan dan pemantapan prestasi pusat sebagai rujukan antarabangsa.
Majlis pelancaran AI-LEAD UTeM disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka merangkap Canselor UTeM, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Kampus Induk UTeM baru-baru ini. Pada majlis sama, beliau turut merasmikan Galeri Cheng Ho UTeM, Galeri dan Kedai Buku UTeM Press serta OCBC Al-Amin AZKA–PPZ Knowledge Lounge @ UTeM.
Inisiatif ini dijangka mengukuhkan ekosistem akademik, memperluas akses bahan bacaan ilmiah, mempromosikan pertukaran budaya dan menyediakan ruang pembelajaran moden bagi warga universiti, sekali gus menyokong pembangunan kepimpinan berteraskan kecerdasan buatan di peringkat nasional dan global. - DagangNews.com








