Urus niaga hartanah capai RM240 bilion pada 2025, tertinggi dalam sedekad | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Urus niaga hartanah capai RM240 bilion pada 2025, tertinggi dalam sedekad

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 MacSektor hartanah negara mencatat nilai transaksi RM240 bilion pada 2025, paras paling tinggi dalam tempoh 10 tahun, sekali gus menandakan pemulihan penuh industri berkenaan.


Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, lonjakan ini ketara berbanding hanya RM180 bilion yang direkodkan pada 2023, sekali gus membuktikan sektor tersebut sudah kembali rancak.


Jumlah urus niaga hartanah nasional bagi tahun lalu sudah mencecah RM240 bilion, iaitu angka tertinggi dalam lebih sedekad, dan turut muncul sebagai antara pemacu utama enjin pertumbuhan ekonomi negara.


“Justeru sektor hartanah kita bukan sahaja pulih sepenuhnya, malah menjadi tonggak asas ekonomi negara,” katanya kepada pemberita selepas program Ihya Ramadan di kementeriannya di Putrajaya hari ini.


Prestasi kukuh sektor hartanah ini tambah beliau, dilihat memberi sokongan penting kepada pertumbuhan ekonomi keseluruhan negara, meskipun persekitaran pasaran antarabangsa masih kekal mencabar.


Mengulas perkembangan global, Kor Ming berkata, kementerian memantau rapat ketegangan di rantau Asia Barat susulan konflik Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran, termasuk isu sekatan Selat Hormuz.


Menurutnya, laluan itu menampung kira-kira 25% bekalan minyak dan gas dunia, justeru sebarang gangguan boleh memberi kesan kepada kos pengangkutan dan seterusnya menjejaskan sektor perumahan.


“Kita perlu memastikan segala kos pengangkutan melibatkan bahan diimport tidak memberi impak negatif kepada industri perumahan dan pembinaan negara akibat ketegangan di sana,” katan beliau.


Turut hadir pada majlis tersebut ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar. - DagangNews.com