KUALA LUMPUR 27 Julai – Bekas Pengarah Urusan Kumpulan dan Naib Pengerusi Eksekutif PRG Holdings Berhad, Lua Choon Hann menggesa dua pemegang saham terbesar syarikat itu menyelesaikan perbezaan melalui rundingan, sambil memberi amaran bahawa pertikaian korporat yang berpanjangan berisiko menjejaskan masa depan syarikat serta menghakis nilai kepada pemegang saham.
Dalam surat terbuka yang ditujukan kepada pemegang saham utama PRG, Datuk Ng Yan Cheng dan Dato' Sheah Kok Fah, Lua merayu supaya kedua-dua pihak berdamai, sambil menegaskan tiada pihak yang benar-benar akan muncul sebagai pemenang sekiranya perebutan kuasa yang sedang berlaku diteruskan.
Rayuan itu dibuat ketika pertikaian korporat antara Ng yang memiliki 16.6% kepentingan dalam PRG dan Sheah yang memegang 8.14% saham semakin memuncak, dengan kedua-dua pihak berusaha mempengaruhi hala tuju syarikat yang tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia itu.
Pertikaian hanya rugikan semua pihak
Lua, yang berkhidmat bersama PRG selama sembilan tahun dari 2013 hingga 2024, berkata beliau masih mempunyai ikatan yang mendalam dengan syarikat itu dan percaya kepentingan jangka panjang PRG perlu mengatasi sebarang perbezaan peribadi.
"PRG ialah sebuah syarikat yang dibina hasil dedikasi ramai individu selama bertahun-tahun. Syarikat ini telah melalui pelbagai cabaran dan berjaya mengharunginya sepanjang perjalanan," katanya.
Beliau menyifatkan pertikaian semasa sebagai "pertempuran yang tiada pemenang sebenar", sambil mengingatkan bahawa ketidaktentuan yang berpanjangan akhirnya akan memberi kesan kepada pemegang saham, pekerja, pelanggan, rakan perniagaan serta pihak berkepentingan lain.
ARTIKEL BERKAITAN: Ng Yan Cheng kemuka petisyen gulung tikar ke atas PRG berhubung tuntutan RM21.2 juta
Sehubungan itu, beliau menggesa kedua-dua pemegang saham kembali ke meja rundingan dan mengadakan perbincangan secara terbuka serta membina bagi mencari penyelesaian.
Menurut beliau, syarikat seharusnya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh rangka kerja tadbir urus korporat serta melaksanakan mekanisme semak dan imbang yang lebih berkesan bagi memulihkan keyakinan pelabur.
"Tadbir urus korporat tidak sepatutnya dilihat sebagai pertandingan antara individu, sebaliknya sebagai tanggungjawab bersama untuk melindungi kepentingan semua pemegang saham dan memastikan kelestarian syarikat dalam jangka panjang," katanya.
Kedua-dua pihak masih saling memerlukan
Lua berkata, tanpa mengira keputusan pertarungan korporat yang sedang berlangsung, kedua-dua pemegang saham itu tetap akan memainkan peranan penting dalam masa depan PRG.
Katanya, walaupun Ng kekal sebagai pemegang saham tunggal terbesar syarikat, Sheah pula telah menunjukkan beliau mendapat sokongan yang signifikan daripada pemegang saham.
"Jika Datuk Ng memenangi pertarungan ini, beliau masih perlu berdepan hakikat bahawa Datuk Sheah mempunyai sokongan majoriti pemegang saham ketika ini.
"Jika Datuk Sheah pula menang, beliau juga perlu terus bekerjasama dengan Datuk Ng kerana beliau merupakan pemegang saham tunggal terbesar syarikat," katanya.
Beliau berkata, kebuntuan yang berpanjangan hanya akan mengalih perhatian pengurusan daripada menguruskan operasi syarikat, melemahkan keyakinan pasaran dan mengurangkan nilai kepada pemegang saham.
Sumbangan kedua-dua pihak wajar dihargai
Lua turut mengiktiraf sumbangan kedua-dua pihak terhadap pembangunan PRG selama ini.
Menurutnya, Ng banyak membantu syarikat ketika berdepan tempoh mencabar, manakala Sheah turut memberi sumbangan bermakna, khususnya menerusi usaha sama pembangunan Embayu@ Damansara West yang disifatkannya sebagai antara projek paling berjaya PRG.
"Sumbangan kedua-dua mereka kepada PRG wajar diiktiraf dan dihormati," katanya.
Mengakhiri surat terbukanya, Lua menggesa kedua-dua pihak meletakkan kepentingan syarikat mengatasi perbezaan peribadi demi mengembalikan kestabilan.
"Syarikat memerlukan kestabilan, pekerjanya memerlukan kepastian, manakala pemegang saham memerlukan kepimpinan yang mampu bekerjasama demi mewujudkan nilai kepada pemegang saham," katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa penyelesaian secara baik masih boleh dicapai dan sejarah akan mengingati mereka yang memilih untuk melindungi masa depan syarikat, bukannya memanjangkan pertikaian korporat.
"PRG mempunyai potensi yang besar. Jangan biarkan konflik menentukan masa depannya. Marilah kita membawa PRG kembali ke zaman kegemilangannya," katanya. - DagangNews.com








