KUALA LUMPUR 27 Julai – Kelegaan yang dinikmati Malaysia susulan pelaksanaan tarif baharu Amerika Syarikat (AS) mungkin hanya bersifat sementara ketika ini, kata CIMB Treasury and Markets Research.
Sebaliknya, menurut firma tersebut, Malaysia masih berdepan risiko kadar tarif dinaikkan antara 15% hingga 19% bergantung kepada keputusan siasatan yang dilaksanakan oleh Wakil Perdagangan AS (USTR).
Walaupun Seksyen 301 yang berkuat kuasa pada 24 Julai 2026 menurunkan kadar tarif efektif ke atas eksport Malaysia kepada 5.1% daripada 5.2% sebelum ini, penambahbaikan itu dijangka tidak kekal.
"USTR masih lagi menjalankan siasatan isu lebihan kapasiti struktur melibatkan Malaysia, dan tarif yang disemak mungkin menyamai kadar di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART)," kata CIMB.
Menurutnya lagi, jika hasil siasatan itu membawa kepada pengenaan tarif tambahan, maka kadar tarif keseluruhan ke atas eksport Malaysia selepas ini berpotensi meningkat kepada 15% hingga 19% pula.
Pelaksanaan Seksyen 301 berkaitan buruh paksa menggantikan tarif sementara Seksyen 122 yang tamat pada 24 Julai 2026, dengan Malaysia dan Indonesia menerima kadar tarif terendah sebanyak 10%.

CIMB menambah, kadar tarif efektif yang rendah itu disumbangkan oleh banyak pengecualian produk, dengan menurunkan bahagian eksport Malaysia ke AS yang tertakluk tarif kepada 31.9% daripada 33%.
"Perkembangan ini secara tidak langsung mengecualikan eksport Malaysia yang bernilai RM3.3 bilion daripada liputan tarif, sekali gus mengurangkan beban ke atas pengeksport tempatan," jelasnya.
Menurut firma itu, hanya satu pertiga daripada eksport Malaysia ke AS kini tertakluk tarif Seksyen 301, manakala selebihnya sama ada dikecualikan atau dikenakan di bawah mekanisme tarif yang lain.
Antara produk yang menerima pengecualian ialah minyak sawit, isirung sawit, oleokimia dan papan lapis dengan nilai eksport kira-kira RM2.1 bilion, selain peralatan pengukuran dan pengujian semikonduktor.
Bagaimanapun, CIMB berpandangan ketidaktentuan dasar perdagangan AS masih menjadi cabaran utama kerana sebarang keputusan baharu hasil siasatan USTR itu boleh mengubah tarif dalam masa terdekat.
"Walaupun risiko kekal, kami menjangka impak segera Seksyen 301 terhadap perdagangan Malaysia masih terhad, sementara menunggu perkembangan lanjut pihak berkuasa AS," katanya. - DagangNews.com








