KUALA LUMPUR 6 Mei — UOB Malaysia mencatatkan hasil operasi yang mencecah RM4.7 bilion bagi tahun kewangan berakhir 2024, merekodkan kenaikan 2.3 peratus daripada RM4.6 bilion pada tahun sebelumnya.
Selain itu, kumpulan perbankan tersebut merekodkan keuntungan kasar tertinggi sebanyak RM2.2 bilion, yang juga meningkat 15.9 peratus berbanding hanya RM1.9 bilion pada 2023.
Peningkatan dalam pendapatan operasi adalah bersandarkan pertumbuhan yang stabil dalam semua aliran, termasuk hasil faedah bersih, perbankan Islam, keuntungan pertukaran asing bersih, serta fi dan komisen.
"Perbelanjaan menurun RM22 juta berikutan pengurusan kos berdisiplin, manakala jumlah elaun untuk jangkaan kerugian kredit jatuh ketara 52.1 peratus kepada RM159 juta," kata UOB Malaysia dalam kenyataan.
Pinjaman, pendahuluan dan pembiayaan kasar turut meningkat 2.1 peratus kepada RM109.5 bilion berbanding RM107.2 bilion pada 2023, disebabkan pertumbuhan stabil dalam kedua-dua segmen borong dan runcit.
Dalam usaha mengukuhkan penyata imbangan, ia memberi tumpuan pengembangan dan pengekalan deposit berkualiti yang membawa kepada nisbah akaun simpanan dan akaun semasa (CASA) lebih tinggi, melebihi 44 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ng Wei Wei berkata, pihaknya berbesar hati melaporkan satu lagi tahun prestasi kewangan kukuh, yang menunjukkan kekuatan model perniagaan terpelbagai disokong pengurusan risiko berhemat.
"Ini juga dibantu kawalan kos berdisiplin serta prestasi kukuh kesemua perkhidmatan teras dengan Perniagaan Perbankan Borong kami mencatat kemajuan ketara dalam agenda kemampanan dan kesalinghubungan," katanya.
Beliau menambah, hasil aliran perdagangan dan pendapatan Pasaran Global juga meningkat kukuh, berikutan usaha membantu pelanggan mengurus risiko kadar faedah dalam persekitaran yang tidak menentu.
Selain itu, francais runcit UOB Malaysia yang lebih luas terus memberi momentum terutamanya perniagaan kad kredit dan pengurusan kekayaan, berikutan kejayaan penyepaduan perniagaan Perbankan Pengguna Citigroup.
Wei Wei berkata, kedudukan kredit dan prospek juga disahkan melalui penarafan AAA oleh firma RAM Holdings Berhad, yang kekal sejak 2012 manakala modal terus kukuh, dengan nisbah Ekuiti Biasa Tahap 1 sebanyak 16.0 peratus.
"Nisbah Kecukupan Modal UOB Malaysia sebanyak 19.4 peratus, adalah jauh melebihi keperluan kawal selia, serta mampu menyediakan penampan yang mencukupi bagi pertumbuhan masa hadapan," kata beliau.
Sejajar dengan strategi ekonomi negara, ia juga memberi sokongan kepada sektor pertumbuhan utama daripada industri semikonduktor Pulau Pinang kepada Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan tenaga boleh diperbaharui Sarawak.
Usaha tersebut sekali gus dijangka menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang terpelbagai dan selaras matlamat Kumpulan UOB untuk menjadi bank perdagangan rentas sempadan terkemuka menjelang 2026. - DagangNews.com








