UOB bersama persekutuan pengilang Malaysia dan Singapura meterai MoU pacu pelaburan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UOB bersama persekutuan pengilang Malaysia dan Singapura meterai MoU pacu pelaburan

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Julai – UOB Malaysia hari ini memeterai satu memorandum persefahaman (MoU) tiga hala bersama Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan Persekutuan Pembuatan Singapura (SMF) untuk memperkukuhkan integrasi ekonomi serantau serta mempercepatkan aliran pelaburan langsung asing (FDI).

 

MoU tersebut dimeterai hari ini sempena Persidangan ASEAN yang sedang berlangsung di Singapura.

 

Kerjasama strategik itu bertujuan memperkukuhkan lagi hubungan perindustrian Malaysia dan Singapura dengan memanfaatkan jaringan serantau dan kepakaran UOB dalam sektor perbankan.

 

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Liew Chin Tong berkata, ia memberi tumpuan khusus untuk membantu perusahaan kecil, mikro dan sederhana (PMKS) menembusi pasaran baharu, mengembangkan kapasiti operasi dan menyumbang kepada pertumbuhan mampan ASEAN.

 

"MoU ini turut memberi nilai tambah kepada inisiatif kerajaan menerusi Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) yang dibentuk bagi merapatkan ekosistem pelaburan dan rantaian bekalan antara kedua-dua negara.

 

"Antara matlamat utama JS-SEZ ialah mewujudkan ekosistem rantaian bekalan yang lebih berdaya saing di sempadan dua negara.

 

"Johor dan Singapura mempunyai kekuatan saling melengkapi dalam inovasi dan produktiviti dan kita optimis , MoU ini sangat signifikan ke arah mencapai pertumbuhan ekonomi serantau yang mampan," katanya dalam satu kenyataan hari tu.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, UOB komited menyokong pembangunan JS-SEZ menerusi pelbagai inisiatif yang telah dilancarkan sejak tahun lalu.

 

"UOB adalah antara penyokong awal JS-SEZ, termasuk pelancaran Laluan Hijau bersama Invest Johor serta penubuhan Meja SEZ dan perkhidmatan pembukaan akaun pantas. 

 

"Sejak tahun 2024, kami telah menyalurkan RM11.5 bilion dalam pembiayaan kepada perniagaan di Johor dan kini sedang memudah cara aliran FDI berjumlah RM10 bilion ke dalam zon ini," katanya.

 

Melalui MoU itu, UOB akan memberi sokongan kepada ahli FMM dan SMF dengan menawarkan khidmat nasihat dan panduan khusus untuk penembusan pasaran di Singapura, Malaysia dan Asia Tenggara. 

 

Ia termasuk rundingan kewangan dan operasi yang disesuaikan mengikut keperluan perniagaan masing-masing.

 

Sementara itu, Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai pula berkata, kerjasama tersebut membuka lebih banyak peluang ekonomi di bawah kerangka JS-SEZ.

 

"FMM komited membantu ahli kami memanfaatkan inisiatif dua hala ini untuk membina rangkaian serantau yang lebih kukuh. 

 

"Dengan sokongan UOB, SMF serta pengilang terutamanya PMKS, semua pihak lebih bersedia untuk meneroka peluang pertumbuhan, memacu inovasi dan memainkan peranan penting dalam landskap perindustrian ASEAN," katanya.

 

Senada dengan beliau ialah Presiden SMF, Lennon Tan yang berharap kerjasama itu akan membantu syarikat menembusi pasaran baharu, mempercepat inovasi dan memperkukuh daya tahan rantaian bekalan. 

 

"Kita akan membuka akses lebih jelas kepada modal, bakat dan teknologi sekali gus memastikan koridor pembuatan Malaysia dan Singapura kekal kompetitif dan bersedia menghadapi cabaran masa depan," katanya. - DagangNews.com