KUALA LUMPUR 19 Jun - Keuntungan bersih MyNews Holdings Bhd bagi suku kedua berakhir 30 April 2026 merosot ketara berbanding tempoh sama tahun lalu, berpunca terutamanya akibat peningkatan perbelanjaan operasi.
Rangkaian kedai serbaneka itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam berkata, keuntungan bersih bagi suku kedua tahun kewangan 2026 (2QTK2026) menjunam 97% kepada RM55,000 berbanding RM2.28 juta yang dicatatkan sebelum ini.
Perbelanjaan pentadbiran meningkat 20% kepada RM10.87 juta, sebahagiannya berikutan pengambilan kakitangan mahir dalam bidang seperti automasi proses dan kecerdasan buatan (AI), selain pengukuhan pasukan komersial serta operasi syarikat.
Perbelanjaan jualan dan pengedaran pula meningkat 12.7% kepada RM47.95 juta susulan peluasan berterusan rangkaian ritelnya, manakala perbelanjaan lain naik 5.4% kepada RM23.28 juta.
Menurut kumpulan itu, peningkatan perbelanjaan lain tersebut sebahagian besarnya berpunca daripada caj susut nilai yang lebih tinggi hasil pelaburan dalam pembukaan cawangan baharu dan aset hak guna.
Bagaimanapun, hasil suku tahunan MyNews meningkat 11.6% kepada RM226 juta berbanding RM202.6 juta setahun lalu, disokong oleh pertambahan rangkaian cawangan sebanyak 65 buah kepada 704 cawangan daripada 639 cawangan, selain peningkatan jualan di kedai sedia ada.
Margin keuntungan susut, dividen lebih tinggi
Margin keuntungan kasar bagaimanapun menyusut kepada 37.5% berbanding 39.5% pada tahun sebelumnya apabila kos jualan berkembang lebih pantas daripada pertumbuhan hasil susulan perubahan campuran produk dan aktiviti promosi di kedai.
MyNews turut mengumumkan dividen satu sen sesaham, meningkat daripada 0.5 sen yang dibayar bagi 2QTK2025, manakala tarikh pembayaran akan diumumkan kemudian.
Mengulas prospek perniagaan, MyNews berkata pihaknya kekal berhati-hati namun optimis terhadap prestasi bagi baki tempoh tahun kewangan semasa meskipun berdepan ketidaktentuan makroekonomi termasuk tekanan inflasi, perubahan corak perbelanjaan pengguna dan turun naik kos operasi.
Kumpulan itu berkata, tumpuan akan diberikan kepada usaha memperluas dan mengoptimumkan rangkaian cawangannya dengan meningkatkan kehadiran pasaran sambil merasionalisasikan cawangan yang kurang berprestasi bagi meningkatkan kecekapan keseluruhan.
Selain itu, MyNews akan berusaha menambah baik margin keuntungan kasar menerusi strategi perolehan yang lebih berkesan, rundingan dengan pembekal serta pengoptimuman campuran produk, di samping mengekalkan disiplin kawalan kos bagi mengurus peningkatan perbelanjaan buruh, sewaan dan utiliti.
Saham MyNews mengakhiri dagangan semalam naik 0.5 sen atau 1.1% kepada 46.5 sen, sekali gus memberikan kumpulan itu permodalan pasaran sebanyak RM348.9 juta. - DagangNews.com








