KUALA LUMPUR 30 Mei — Prestasi keuntungan OSK Holdings Berhad dijangka meningkat ketara pada suku akan datang, didorong pemulihan dan tempahan kukuh merentas segmen perniagaan utama, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, unjuran itu berdasarkan keuntungan teras selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) sebanyak RM125.4 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2025 sehingga 31 Mac yang dilaporkan pada 28 Mei 2025.
Ia menambah, keputusan kewangan OSK adalah dalam jangkaannya, yang membentuk 22 peratus daripada ramalan setahun penuhnya manakala keuntungan sebelum cukai OSK untuk asas tahun ke tahun (y-o-y) adalah mendatar dengan berkurangan 0.6 peratus.
“Penurunan dalam industri adalah disebabkan oleh perbelanjaan operasi yang terikat dengan kilang baharu diambil alih di Johor, serta ia melaporkan keuntungan sebelum cukai menyusut RM6.3 juta," kata HLIB Research dalam satu nota kajiannya.
Tambah firma berkenaan, sumbangan yang lebih rendah daripada segmen pembangunan hartanah disebabkan oleh penurunan margin keuntungan menerusi pelbagai projek sedia ada berbanding ketika tempoh suku pertama pada tahun sebelumnya.
Segmen itu mencatatkan peningkatan keuntungan sebelum cukai sebanyak 18.6 peratus, seiring dengan jumlah jualan lebih tinggi dan secara keseluruhan, PATAMI teras meningkat sedikit 2.1 peratus dipacu cukai lebih rendah.
Bahagian pembiayaan modal kumpulan itu kata HLIB Research, merekodkan keuntungan sebelum cukai pada 1QFY25 sebanyak RM30.9 juta, yang meningkat sebanyak 18.2 peratus y-o-y.
Prestasi positif itu disokong oleh pertumbuhan pinjaman yang kukuh merentas semua segmen daripada konvensional, penjawat awam dan perniagaannya di Australia.
“Portfolio pinjaman terus menunjukkan momentum yang teguh, berkembang besar kepada RM2.43 bilion pada 31 Mac 2025, yang meningkat sebanyak 11.3 peratus suku ke suku (q-o-q)," tambah firma penyelidikan itu.
Pertumbuhan pinjaman q-o-q disokong oleh semua segmen dengan konvensional naik 11.3 peratus, pembiayaan penjawat awam pula meningkat 4.8 peratus manakala di Australia bertambah 11.3 peratus.
HLIB Research berkata, segmen pembiayaan modal bersedia untuk menyampaikan hasil tertinggi pada tahun kewangan 2025 dan berkemungkinan muncul sebagai pemacu pendapatan utama, setanding dengan segmen hartanah kumpulan.
Sementara itu, jualan hartanah terjejas pada 1QFY25 kerana Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri jatuh dalam tempoh yang sama, mengakibatkan kurang hari bekerja serta gangguan sementara dalam aktiviti transaksi.
"Momentum dijangka pulih, disokong oleh portfolio teguh projek yang sedang berjalan dan siri pelancaran aktif yang dijadualkan pada suku akan datang," kata firma itu. - DagangNews.com








