Untung Marine & General bagi 3QFY26 naik kepada RM6.6 juta dipacu kadar sewa kapal lebih tinggi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung Marine & General bagi 3QFY26 naik kepada RM6.6 juta dipacu kadar sewa kapal lebih tinggi

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 18 Mac - Marine & General Berhad mencatatkan kenaikan untung bersih kepada RM6.55 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Januari 2026, berbanding RM5.8 juta pada tempoh sama tahun 2025.


Peningkatan ini didorong terutamanya oleh kadar sewa kapal sokongan luar pesisir lebih tinggi ekoran permintaan stabil, selain pengiktirafan pampasan insurans logistik berjumlah RM2.1 juta.


Berdasarkan makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan tersebut melaporkan perolehan sebanyak RM79.6 juta, meningkat 7.3% daripada RM74.2 juta bagi suku yang sama tahun sebelumnya. 


"Untung bersih yang dapat diagihkan kepada para pemilik saham Marine & General turut melonjak kira-kira 42.6% kepada RM3.64 juta berbanding cuma sebanyak RM2.55 juta sebelum ini," tambahnya.


Logistik marin huluan menjadi penyumbang utama dengan 79% daripada keseluruhan perolehan kumpulan atau RM62.6 juta, dengan untung sebelum cukai sebanyak RM8.8 juta, dipacu kadar sewa lebih baik.

 

Marine & General


Sementara segmen logistik marin hiluan menyumbang 19% perolehan atau RM15.6 juta, dan kembali mencatatkan untung sebelum cukai sebanyak RM0.2 juta berbanding sebelumnya kerugian RM2.6 juta 


Marine & General berkata, perkembangan positif tersebut adalah hasil daripada sejumlah pampasan insurans dan kos susut nilai yang lebih rendah serta membantu dalam menyokong margin kasar.


"Bagi tempoh kumulatif sembilan bulan, kumpulan mencatatkan perolehan sebanyak RM277.2 juta dengan untung sebelum cukai RM46.6 juta, masing-masing meningkat sebanyak 7.3% dan 8.4%," katanya lagi.


Mengenai prospek masa hadapan, Lembaga Pengarah mengekalkan pandangan neutral bagi tahun kewangan semasa memandangkan industri berdepan cabaran peralihan tenaga dan kos operasi tinggi.


Bagaimanapun jelas Marine & General, kumpulan akan terus memfokuskan kepada kecekapan operasi dan pengoptimuman armada kapal untuk mengekalkan prestasi pendapatan stabil. - DagangNews.com