Untung IOI Properties bagi 3QFY26 dipacu jualan tanah RM1.4 bilion, MBSB Research kekal saran 'beli' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung IOI Properties bagi 3QFY26 dipacu jualan tanah RM1.4 bilion, MBSB Research kekal saran 'beli'

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 29 Mei — Aktiviti penjanaan nilai tanah bukan teras yang agresif oleh IOI Properties Group Berhad mula mencatatkan prestasi positif bagi tempoh suku ketiga tahun kewangan 2026 (3QFY26).

 

Menurut MBSB Research, perkembangan tersebut sekali gus menarik perhatian pelabur terhadap potensi pembukaan nilai aset kumpulan itu dipacu jualan tanah berjumlah RM1.35 bilion di beberapa lokasi.


Katanya, pendapatan teras bagi 9MFY26 sebanyak RM566.8 juta melepasi jangkaannya dan mencapai 98% daripada unjuran penuh tahun, disumbangkan menerusi pengiktirafan jualan tanah pada suku itu.


“Peningkatan keuntungan IOI Properties didorong terutama penjualan tanah di Melaka bernilai RM130 juta selain margin keuntungan yang lebih baik dan pengurangan kos faedah,” tambahnya dalam nota.


Jelas MBSB Research, margin keuntungan kasar kumpulan berkenaan turut berkembang kepada kira-kira 61.5% berbanding hanya 57.6% pada suku sebelumnya, disokong oleh transaksi jualan tanah tersebut.


Secara tahunan, keuntungan teras 3QFY26 melonjak 134.7% tahun ke tahun, manakala keuntungan terkumpul bagi tempoh sembilan bulan pertama FY26 meningkat lebih dua kali ganda sebanyak 101.5%.


 

IOI Properties_DagangNews2026



Prestasi kukuh itu turut dipacu sumbangan JW Marriott Singapore South Beach, South Beach Avenue dan South Beach Tower susulan pengambilalihan baki 50.1% ekuiti Scottsdale Properties Pte Ltd.


"Selain itu, pendapatan sewaan daripada IOI Central Boulevard di Singapura dan IOI City Mall di Putrajaya turut didapati menyokong pertumbuhan pendapatan IOI Properties," kata MBSB Research.


Dalam perkembangan sama, jualan baharu melonjak kepada RM1.7 bilion pada 3QFY26, dipacu terutama oleh jualan tanah berjumlah RM1.35 bilion melibatkan Banting, Iskandar Malaysia dan Jalan Ampang.


Prestasi itu menjadikan jumlah jualan terkumpul 9MFY26 meningkat kepada RM2.71 bilion, manakala jualan belum dibilkan naik ketara kepada RM2.1 bilion berbanding RM853 juta pada suku sebelumnya.


Susulan prestasi yang dinilai sebagai memberangsangkan itu, MBSB Research menaikkan unjuran pendapatan IOI Properties bagi FY26 hingga FY28 masing-masing sebanyak 22.6%, 16.3% dan 14.3%.


"Kami turut mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham kumpulan dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM4.64 berdasarkan diskaun 18% kepada nilai aset bersih diselaraskan (RNAV)," katanya.


Meskipun nisbah gear bersih masih tinggi pada 0.86 kali dalam 3QFY26, langkah aktif penjanaan nilai tanah membantu mengurangkan tahap hutang serta menyokong pertumbuhan masa depan. - DagangNews.com