KUALA LUMPUR 26 Ogos - Untung bersih Ta Ann Holdings Berhad pada suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25) naik 11.4% kepada RM54.3 juta berbanding RM48.7 juta pada suku sama tahun sebelumnya dipacu peningkatan jumlah jualan eksport balak dan minyak sawit mentah selain purata harga jualan yang menggalakkan.
Hasil kumpulan pada suku berkenaan juga meningkat kepada RM432.6 juta berbanding RM366.7 juta pada tahun sebelumnya.
"Jumlah eksport balak naik sebanyak 30% manakala minyak sawit mentah naik 15% disertai purata harga jualan yang menggalakkan bagi kedua-dua produk yang meningkat sebanyak 7%," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Untung bersih kumpulan pada separuh pertama berakhir 30 Jun 2025 (1HFY25) naik kepada RM95.9 juta berbanding RM91.9 juta didorong peningkatan hasil sebanyak RM839.6 juta berbanding RM719.1 juta pada 1HFY24.
Ta Ann berkata, bahagian kayu dan papan lapis kumpulan mencatatkan prestasi kukuh dari segi produktiviti dan kecekapan pengeluaran, disokong oleh keadaan cuaca yang menggalakkan serta bekalan sumber yang stabil.
Katanya, harga kayu telah stabil, manakala pasaran komoditi secara keseluruhan menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang positif.
Bagi segmen perladangan, harga minyak sawit mentah mencapai RM4,379/mt pada 15 Ogos 2025, didorong gangguan dalam rantaian bekalan, mandat biodiesel yang lebih ketat, dan kekurangan bekalan kacang soya.
"Perubahan corak perdagangan dan kekurangan tenaga kerja di pasaran utama menambah ketidaktentuan, manakala pemulihan yang perlahan dalam komoditi lain terus menyokong permintaan terhadap minyak sawit mentah.
"Dengan musim puncak pengeluaran semakin hampir, pengeluaran dijangka meningkat, disokong oleh amalan agronomi yang berterusan.
"Di sebalik ketidaktentuan pasaran global yang berterusan, Kumpulan kekal fokus terhadap pengurusan kos yang berhemah, pengoptimuman sumber, dan inisiatif berteraskan kelestarian bagi mengukuhkan daya tahan serta daya saing jangka panjang," katanya. - DagangNews.com








