KUALA LUMPUR 28 April — Keuntungan bersih Supercomnet Technologies Bhd boleh berkembang sebanyak 30 peratus pada suku pertama hasil jualan yang lebih kukuh kepada segmen perubatan, kata TA Securities.
Firma penyelidikan tersebut berkata, ia mungkin antara RM8.5 juta dan RM10.5 juta, dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 5.6 peratus hingga 30 peratus tanpa terkesan isu tarif perdagangan Amerika Syarikat (AS).
Pengilang kabel dan wayar serta bahagian plastik dan komponen elektronik digunakan dalam peranti perubatan yang berpangkalan di Kedah itu katanya, dijangka menerbitkan keputusan kewangannya menjelang akhir Mei 2025.
"Kami percaya kesan perang perdagangan AS-China dan tarif timbal balik AS ke atas Supercomnet boleh diurus," kata TA Securities dalam satu nota kajiannya serta mengekalkan saranan "beli" ke atas syarikat itu.
Saham Supercomnet susut kira-kira 36 peratus daripada nilai pasaran sejak awal 2025, walaupun AS menundakan sementara tarif timbal balik selama 90 hari setelah mengenakan tarif interim 10 peratus ke atas semua rakan dagangan.
Bagaimanapun katanya, lebih separuh daripada hasil pasaran Supercomnet adalah domestik, diikuti Republik Dominica, yang menyumbang kira-kira 32 peratus, dan AS yang hanya menyediakan sebanyak 10 peratus.
Di AS sendiri tambah TA Securities, pelanggan di negara berkenaan juga akan perlu menyerap tarif 10 peratus yang dikenakan kerajaannya, kerana Supercomnet merupakan pembekal tunggal untuk segmen perubatan.
Berdasarkan segmen syarikat tersebut, perubatan menyumbang paling besar iaitu sebanyak 80 peratus daripada pendapatan manakala selebihnya pula datang daripada pelanggan dalam sektor perindustrian dan automotif.
Dalam segmen automotif, Superscomnet sedang berbincang dengan dua pelanggan baharu dan berpotensi, serta menyatakan, jualan kepada Stellantis, pemilik jenama Peugeot, dijangka tidak berubah kerana permintaan stabil di Asia-Pasifik.
"Kami faham bahawa pelanggan ini, akan melaksanakan audit akhir pada Mei 2025 dan jika berjaya, pengeluaran abah-abah wayar secara besar-besaran mungkin bermula pada Jun 2025," kata TA Securities.
Syarikat tersebut juga sedang berunding untuk menghasilkan abah-abah wayar untuk model Chrysler di pasaran AS. - DagangNews.com








