KUALA LUMPUR 10 Nov – Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) mencatatkan prestasi kukuh bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 30 September 2025 (3QFY2025) dengan keuntungan bersih meningkat 43.2% kepada RM127.68 juta, berbanding RM89.1 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Pertumbuhan ini disokong oleh peningkatan hasil dan keuntungan pelupusan hartanah pelaburan, di samping pendapatan faedah yang lebih tinggi.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Sunway REIT berkata, hasil yang diperolehi meningkat 23.1% kepada RM236.4 juta berbanding RM192.1 juta pada 3QFY2024.
Pendapatan daripada segmen hartanah turut meningkat 25.3% kepada RM180.9 juta berbanding RM144.3 juta tempoh sama tahun sebelumnya.
Sunway REIT merekodkan keuntungan daripada pelupusan hartanah pelaburan sebanyak RM25.6 juta dan pendapatan faedah RM4.65 juta, berbanding hanya RM1.52 juta tahun lalu.
Bagaimanapun, syarikat mencatatkan kerugian penilaian semula sebanyak RM21.8 juta bagi suku tersebut.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama FY2025 (9M2025), Sunway REIT merekodkan pendapatan RM666.7 juta, meningkat 22% tahun ke tahun, dengan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM365.9 juta, naik 13.9% berbanding tempoh sama FY2024.
Daripada jumlah itu, pendapatan boleh agih kepada pemegang unit meningkat 61.1% kepada RM143.6 juta bagi 3QFY2025, bersamaan pendapatan sesaham 4.19 sen berbanding 2.61 sen pada tahun sebelumnya.
Ini menjadikan pengagihan dividen tahunan bagi tempoh tersebut meningkat kepada 5.68 sen, berbanding 4.66 sen pada 3QFY2024.
Secara keseluruhan, prestasi 3QFY2025 mencerminkan kekuatan asas portfolio Sunway REIT yang terus berkembang dengan 28 aset bernilai RM10.2 bilion, peningkatan ketara dalam modal pasaran kepada RM7.19 bilion, serta premium kepada nilai aset bersih (NAV) yang meningkat kepada 38.4% berbanding 14.6% setahun lalu.
Sunway REIT turut mengekalkan nisbah hutang yang sihat pada 41.4%, dengan 58% pinjaman pada kadar tetap, menunjukkan keupayaan pengurusan kewangan yang berhati-hati dalam persekitaran kadar faedah yang masih tinggi. - DagangNews.com








