KUALA LUMPUR 23 Mei — DRB-Hicom Berhad mencatatkan penyusutan keuntungan bersih sebanyak 80.6 peratus tahun ke tahun (y-o-y) pada suku pertama 2025 disebabkan jualan rendah dan kos lebih tinggi dalam segmen automotif, pos dan hartanahnya.
Kumpulan tersebut berkata, keuntungan bersih bagi tiga bulan yang berakhir pada 31 Mac 2025 (1QFY25) didapati merosot teruk kepada kira-kira RM17.72 juta berbanding sebanyak RM91.54 juta direkodkan dalam tempoh sama setahun lalu.
Pendapatan yang lebih rendah berikutan hasil turun kira-kira 5.1 peratus y-o-y kepada RM4.11 bilion berbanding sebelum ini sebanyak RM4.33 bilion, dengan sumbangan kecil daripada segmen kenderaan, hartanah, aeroangkasa dan posnya.
Jualan di bahagian automotifnya susut 6.1 peratus kepada RM2.8 bilion disebabkan volum jualan lebih rendah daripada Proton Holdings Berhad yang dimiliki 50.1 peratus dengan hasil juga kurang menerusi syarikat pembuatan dan kejuruteraan.
"Sementara itu, hasil daripada hartanah turut susut kira-kira 41 peratus kepada sebanyak RM46.6 juta, manakala hasil pos turun 0.7 peratus kepada RM457.1 juta," kata DRB-Hicom dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun terdapat dua segmen dalam kumpulan itu telah membantu mengimbangi sebahagian penurunan dalam hasil antaranya perbankan mencatatkan peningkatan sebanyak 4.4% dalam pendapatan kepada RM510.41 juta.
Ia disumbangkan daripada pendapatan pembiayaan yang lebih tinggi, disokong oleh asas pelanggan semakin berkembang dan pertumbuhan secara mampan dalam jumlah pembiayaan.
Hasil untuk segmen perkhidmatan pula meningkat 8 peratus dengan peningkatan volum pemeriksaan kenderaan komersial dalam operasi pemeriksaan kenderaan kumpulan itu.
Tiada dividen diisytiharkan untuk suku tersebut.
Kumpulan itu dalam satu kenyataan berasingan berkata,, jualan model Proton baharunya pada 2025 akan bergantung kepada keadaan pasaran, dengan memetik unjuran Persatuan Automotif Malaysia mengenai jualan kenderaan lebih rendah.
Keadaan tersebut disebabkan permintaan yang lebih lemah, pengurangan tempahan tertunggak dan kemungkinan berlaku perubahan dalam dasar subsidi bahan api.
DRB-Hicom berkata, ia memberi tumpuan kepada transformasi digital dalam sektor utama seperti perbankan dan perkhidmatan pos untuk meningkatkan kecekapan.
Ia juga akan terus mengukuhkan asas perniagaan dalam segmen aeroangkasa, pertahanan, perkhidmatan dan hartanah untuk kemampanan secara jangka panjang.
Sehubungan itu, kumpulan tersebut menjangkakan prospek yang sederhana untuk tahun kewangan berakhir pada Disember 2025. - DagangNews.com








