KUALA LUMPUR 21 Mei — Solarvest Holdings Berhad mencatatkan keuntungan bersih hampir tiga kali ganda pada suku keempat yang berakhir 31 Mac 2025 (4QFY25) dengan melonjak kepada sebanyak RM20.53 juta, berbanding RM7.73 juta pada tempoh sama setahun sebelumnya.
Syarikat tersebut berkata, keuntungan bersihnya itu dipacu oleh pelancaran lebih banyak projek solar berskala utiliti di bawah Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP).
Ia turut melaporkan lonjakan sebanyak 132 peratus dalam hasil pada tempoh suku keempatnya itu, dengan mencecah RM224.87 juta berbanding RM96.90 juta setahun sebelumnya.
"Bagaimanapun, tiada sebarang dividen yang diisytiharkan," kata Solarvest dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Untuk tahun penuh (FY25), syarikat itu mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM51.94 juta atau 7.35 sesaham, iaitu peningkatan 59 peratus daripada tahun sebelumnya, manakala hasil meningkat 8 peratus kepada RM536.82 juta.
Kumpulan tersebut juga katanya, berhasrat mengekalkan perancangan projek secara kukuh, dengan buku tempahan tidak dibilkan sebanyak RM1.24 bilion, yang akan diiktiraf secara progresif sepanjang FY26 dan FY27.
Selain itu, ia juga akan memanfaatkan peluang di bawah pelbagai inisiatif tenaga negara, termasuk Net Energy Metering 3.0 (NEM 3.0), sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), dan program penggunaan sendiri tenaga suria (SelCo).
Sementara program Powervest yang dilaksanakannya, telah mencecah kapasiti sepenuhnya 129 Megawatt (MWp) menerusi perjanjian pembelian tenaga korporat dan dijangka menghasilkan hasil berulang tahunan sebanyak RM50.8 juta.
Memandang ke hadapan, Solarvest optimis dengan usaha kerajaan menyasarkan 70 peratus tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050, dan berada pada kedudukan strategik untuk menjadi pemain utama dalam peralihan tenaga negara. - DagangNews.com








