Untung bersih SKP Resources susut 37% kepada RM16.1 juta bagi 3QFY26 akibat pelarasan tempahan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih SKP Resources susut 37% kepada RM16.1 juta bagi 3QFY26 akibat pelarasan tempahan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 12 Feb - SKP Resources Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM16.12 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Disember 2025, merosot 37% berbanding RM25.61 juta dalam tempoh sama FY25. 


Penurunan prestasi ini kata kumpulan itu, disebabkan terutama oleh semakan semula volum tempahan oleh pelanggan tertentu susulan pelaksanaan langkah tarif dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS).


Selain itu jelasnya, inisiatif pengoptimuman kos oleh pelanggan turut mengakibatkan pemampatan margin, namun asas kos operasi penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) ini tidak berubah.


"Pendapatan kumpulan bagi suku tersebut turut menyusut 9.2% kepada RM457.18 juta, berbanding RM503.73 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya," maklum SKP kepada Bursa Malaysia hari ini.


Sementara itu, bagi tempoh secara kumulatif selama sembilan bulan pula, ia mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM70.83 juta daripada keseluruhan perolehan yang mencecah jumlah RM1.51 bilion. 


Tambahnya lagi, margin keuntungan selepas cukai (PAT) bagi suku semasa itu turut mengecil kepada kira-kira 3.5% berbanding sebanyak 5.1% dicatatkan kumpulan berkenaan pada tahun sebelumnya.


Walaupun berdepan cabaran, Lembaga Pengarah SKP masih tetap positif terhadap daya tahan syarikat tersebut dengan mengekalkan kedudukan kewangan yang teguh untuk tempoh suku keempat akan datang. 


"Syarikat dalam perancangan perluasan keupayaan pemasangan papan litar bercetak (PCBA), pengacuan suntikan, dan kejuruteraan bagi memanfaatkan kepelbagaian rangkaian produk masa hadapan," katanya.


Pelabur jelasnya sering memantau sektor EMS seperti dilaksanakan syarikat berkenaan kerana tahap sensitiviti mereka terhadap permintaan pasaran global dan rantaian bekalan. - DagangNews.com