Untung bersih Q2 TM dijangka naik 4–9%, walaupun hasil susut, kata CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Q2 TM dijangka naik 4–9%, walaupun hasil susut, kata CIMB Securities

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Untung bersih teras (CNP) Telekom Malaysia Bhd (TM) bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY2025) dijangka meningkat antara empat peratus hingga sembilan peratus tahun ke tahun, disokong penjimatan kos faedah bersih serta penormalan kadar cukai efektif, menurut CIMB Securities.

 

Firma penyelidikan itu mengunjurkan CNP TM berada antara RM410 juta hingga RM430 juta, bersamaan 48% hingga 49% daripada unjuran tahun kewangan 2025 (FY2025).

 

“Kami menganggap pencapaian ini selaras dengan jangkaan, memandangkan CNP separuh kedua FY2025 dijangka lebih kukuh secara berurutan, seiring hasil bermusim yang lebih tinggi daripada TM Global dan TM One.

 

“Walaupun berkemungkinan CNP lebih rendah, kami percaya TM mampu mengekalkan dividen sesaham 1HFY2025 pada 12.5 sen (hasil: 1.8%),” kata CIMB dalam nota penyelidikan hari ini.

 

TM dijadual mengumumkan keputusan 2QFY2025 pada 29 Ogos.

 

CIMB menjangka jumlah hasil TM pada 2QFY2025 kekal lemah, berpotensi susut antara 0% hingga 4% tahun ke tahun, disebabkan persaingan sengit dalam pasaran jalur lebar gentian.

 

Bagi tempoh kajian, hasil internet – yang merangkumi sehingga 39% daripada jumlah hasil kumpulan – dijangka merosot 4% hingga 5% tahun ke tahun, dengan pertumbuhan pelanggan perlahan dan purata hasil setiap pengguna (ARPU) terus menurun apabila TM menandingi tawaran agresif pesaing.

 

Cabang perniagaan borong domestik dan antarabangsa kumpulan, TM Global, dijangka mencatat peningkatan hasil kecil pada 2QFY2025 iaitu antara 1% hingga 3% tahun ke tahun.

 

Hasil TM Global dijangka lebih kukuh memasuki 2HFY2025, dipacu penyiapan naik taraf kapasiti kabel dasar laut serta pendapatan awal daripada penyediaan fibre backhaul untuk rangkaian 5G U Mobile.

 

CIMB berkata, berdasarkan pemerhatian pasaran, persaingan jalur lebar gentian kekal sengit dengan tawaran rebat dan promosi tanpa henti.

 

Langganan Unifi dijangka terus meningkat secara sederhana suku ke suku, manakala purata hasil setiap pengguna (ARPU) berkemungkinan susut lagi antara satu hingga tiga peratus kerana TM perlu menandingi tawaran agresif pesaing.

 

Tidak termasuk caj skim pemisahan sukarela (VSS) dalam 2Q24, CIMB mengunjurkan jumlah kos operasi TM pada 2Q25 akan berkurang antara satu hingga lima peratus tahun ke tahun.

 

Pengurangan kos tersebut didorong kos pemerolehan pelanggan Unifi yang lebih rendah, pengurangan perbelanjaan kakitangan hasil pengurangan jumlah pekerja, serta penurunan perbelanjaan operasi lain, yang dijangka lebih daripada mengimbangi peningkatan kos capaian 5G.  - DagangNews.com