KUALA LUMPUR 27 Mei — Powerwell Holdings Berhad mencatatkan penyusutan keuntungan bersih kepada RM19 juta bagi tahun kewangan 2025 yang berakhir pada 31 Mac 2025 berbanding RM19.7 juta yang direkodkan FY24.
Kumpulan pengeluar peralatan tenaga elektrik voltan rendah dan sederhana tempatan itu berkata, kejatuhan tersebut sebahagian besarnya disebabkan oleh faktor sumbangan lebih rendah daripada pasaran luar negara.
Bagaimanapun katanya, margin keuntungan bersih kumpulan berkenaan adalah kekal sihat pada kira-kira 13.9 peratus untuk FY25, berbanding sebanyak 12.7 peratus yang dilaporkan pada tahun kewangan sebelumnya.
"Hasil namun mencatatkan RM137.4 juta berbanding RM154.8 juta setahun lalu, juga kerana sumbangan rendah dari luar manakala segmen Malaysia meningkat 38.7 peratus kepada RM135.6 juta," katanya dalam kenyataan.
Powerwell berkata, ia menunjukkan pertambahan berbanding sebanyak RM97.7 juta dicatatkan kumpulan itu pada tahun sebelumnya, didorong oleh penghantaran produk yang lebih tinggi.
Pengarah Urusannya, Catherine Wong Yoke Yen berkata, pihaknya berbesar hati menutup FY25 dengan nota cukup kukuh berlatarkan persekitaran perniagaan mencabar serta ketidaktentuan makroekonomi yang tinggi.
Lebih mengujakan beliau, segmen Malaysia masih lagi menghasilkan pertumbuhan dua angka yang membanggakan dengan dipacu oleh faktor penghantaran lebih tinggi.
"Kami melihat banyak peluang untuk dimanfaatkan dengan kedudukan serta prestasi dalam industri pengagihan tenaga terutama pusat data, infrastruktur skala besar, semikonduktor, tenaga boleh diperbaharui dan segmen pembuatan mewah," katanya.
Tambah Catherine, penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) memberikan peluang pertumbuhan baharu dan Powerwell terus berusaha meningkatkan pesanan untuk kekal sihat kira-kira RM116 juta pada akhir Mac 2025.
Selain itu, pihaknya berjaya menyelesaikan pengambilalihan 51 peratus kepentingan dalam Firerex Technology Sdn Bhd dan Brandrich Fire Solutions Sdn Bhd masing-masing pada April 2025 yang mengukuhkan kedudukan Powerwell sendiri.
Ia dijangka menawarkan keupayaan lebih baik di sepanjang rantaian nilai kumpulan itu dan beliau menjangka terus meneroka peluang penggabungan selanjutnya untuk meningkatkan kedudukan pasaran.
"Secara keseluruhannya, kami yakin dengan prospek Powerwell yang disokong oleh buku tempahan kami dan peluang menarik di hadapan selain tetap prihatin terhadap ketegangan geopolitik yang berterusan," kata Catherine. - DagangNews.com








