Untung bersih PETRONAS susut 18% kepada RM45.4 bilion bagi FY25, dipengaruhi harga jualan lebih rendah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih PETRONAS susut 18% kepada RM45.4 bilion bagi FY25, dipengaruhi harga jualan lebih rendah

TENGKU Muhammad Taufik pada pengumuman keputusan kewangan Kumpulan PETRONAS di Kuala Lumpur hari ini. - DagangNews.Com / Amree Ahmad
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 27 Feb - Kumpulan PETRONAS mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) RM45.4 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 susut 18% berbanding RM55.1 bilion pada FY24. 


Kemerosotan prestasi bagi tahun berkenaan didorong terutamanya oleh faktor harga jualan purata yang lebih rendah, impak pertukaran mata wang asing, serta jumlah jualan yang berkurangan.


Menurut Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan dan Naib Presiden Eksekutif, Liza Mustapha, situasi itu terutamanya bagi produk mentah, serta kesan daripada pelupusan beberapa syarikat tertentu.


"Pendapatan merosot kira-kira 17% kepada sebanyak RM266.1 bilion, berbanding RM320.0 bilion pada FY24," jelasnya pada pengumuman mengenai kedudukan kewangan Kumpulan PETRONAS di sini hari ini.


Sementara itu, pendapatan sebelum faedah, cukai susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kumpulan tersebut mencatatkan RM103.0 bilion, turun kira-kira 10% selari dengan keuntungan yang lebih rendah.


Aliran tunai daripada aktiviti operasi (CFFO) pula pada tahap RM85.2 bilion, dengan pelaburan modal (capex) sebanyak RM41.6 bilion sudah dibelanjakan, terutama untuk aktiviti pembangunan huluan.

 

petronas
TENGKU Muhammad Taufik ketika berucap pada sesi pengumuman keputusan kewangan Kumpulan PETRONAS di Kuala Lumpur hari ini. - DagangNews.Com / Amree Ahmad

 

Terdahulu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik berkata, prestasi berdaya tahan ini mampu dicapai di sebalik ketidaktentuan pasaran yang berterusan.


"Persekitaran operasi masih mencabar, namun saya menegaskan keputusan FY25 adalah bukti komitmen kumpulan terhadap pengurusan kewangan yang berhati-hati dan pertumbuhan berdisiplin," tegasnya.


Melangkah ke hadapan kata beliau, PETRONAS menjangkakan tekanan geopolitik dan ketidaktentuan pasaran, dengan harga minyak penanda aras global Brent kekal di bawah paras AS$70 (RM272) setong.


Keadaan tersebut tambah Tengku Muhammad, dijangka memberi tekanan kepada margin keuntungan, namun walaupun berdepan cabaran, kumpulan tetap komited terhadap agenda peralihan tenaga negara.


Ini termasuk sasaran Pelepasan Karbon Bersih Sifar menjelang 2050 melalui pelaburan rumusan rendah karbon dan tenaga bersih seperti penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS). - DagangNews.com