KUALA LUMPUR 26 Mei — Petronas Gas Berhad mencatat untung bersih bagi suku pertama 2025 yang lebih tinggi kepada RM468.80 juta berbanding RM456.65 juta direkodkan pada suku sama tahun sebelumnya.
Kumpulan itu berkata, prestasi keseluruhan bagi tahun kewangan 2025 dijangka kekal berdaya tahan dan stabil, walaupun ada gangguan operasi disebabkan insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights pada 1 April 2025.
Bagaimanapun, hasil merosot kepada RM1.59 bilion daripada RM1.62 bilion, berikutan pendapatan rendah daripada segmen pengangkutan gas dan pengegasan semula kerana faktor pelarasan tarif dan penggunaan gas dalaman.
"Semua segmen perniagaan teras dijangka masih mengekalkan kekuatan mereka dan terus menyumbang secara positif kepada hasil perolehan kumpulan," kata Petronas Gas dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Tambahnya, berdasarkan keadaan tapak dan tahap kerosakan aset semasa dalam kes di Putra Heights, jumlah kesan kewangan daripada kerja pembaikan dan usaha pemulihan dianggarkan boleh mencecah kira-kira RM170 juta.
Kata kumpulan itu, sebahagian besar daripada perbelanjaan tersebut akan ditanggung sebagai antara perbelanjaan modal syarikat, dengan pemulihan kebanyakan kos dijangka menerusi pelbagai tuntutan insurans.
Kerugian hasil disebabkan gangguan perkhidmatan sementara diunjur minimum pada kira-kira RM20 juta, didorong kerjasama rapat dengan pihak berkuasa kawal selia, penghantar gas, dan pengedar yang mempercepatkan pemulihan.
Petronas Gas berkata, jumlah anggaran impak keuntungan daripada langkah pemulihan aset dan kehilangan hasil diunjurkan mencecah sekitar RM60 juta untuk tahun berkenaan.
Sebagai tindak balas kepada insiden tersebut, kumpulan itu mempergiatkan tumpuannya pada pengurusan risiko yang lebih teguh, daya tahan operasi dan langkah mitigasi secara proaktif.
"Kami kekal komited mengekalkan standard keselamatan dan operasi, sambil meneruskan disiplin pengurusan kos serta pertumbuhan strategik jangka panjang bagi memastikan kesinambungan dan kemampanan perniagaan," tambahnya.
Para pengarah syarikat turut meluluskan dividen interim pertama sebanyak 16 sen sesaham biasa, berjumlah RM316.6 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, dan perlu dibayar pada 24 Jun 2025. - DagangNews.com








