Untung bersih Petronas Dagangan pada 1QFY25 dibantu segmen komersial, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Petronas Dagangan pada 1QFY25 dibantu segmen komersial, kata penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 27 Mei — Keuntungan bersih Petronas Dagangan Berhad yang direkodkan pada 1QFY25 dibantu daripada segmen komersial meskipun memasuki 2025 dengan rasionalisasi subsidi petrol RON95 yang dijangkakan dilaksanakan kerajaan pada separuh kedua tahun ini.


Reaksi penganalisis adalah bercampur mengenai pandangan terhadap pengumuman keputusan suku pertama syarikat itu pada 23 Mei 2025, dengan CGS International berkata, langkah rasionalisasi tersebut mungkin memberi kesan kepada jualan runcit, yang sudah mengalami tekanan inflasi.


Ia menyatakan terdapat penurunan dua peratus tahun ke tahun (y-o-y) dan suku ke suku (q-o-q) dalam jumlah jualan keseluruhan Petronas Dagangan, selaku pengendali rangkaian stesen minyak Petroliam Nasional Berhad (Petronas) di seluruh negara, pada tempoh 1QFY25.


"Walaupun pendapatan pada suku berkenaan secara umumnya sejajar dengan anggaran tahun kewangannya yang berakhir pada 31 Disember 2025 (FY25), mungkin terdapat lebih banyak tekanan menurun pada separuh kedua 2025," kata CGS International dalam nota kajiannya.

 

Firma penyelidikan tersebut mengekalkan saranan "kurang" saham Petronas Dagangan dengan harga sasaran (TP) yang masih tidak berubah iaitu sebanyak RM16.74 sesaham.

 

Artikel berkaitan: Petronas Dagangan catat untung bersih 1QFY25 meningkat 30% kepada RM293.5 juta dipacu jualan kukuh


Kenanga Research, pula mengekalkan saranan "outperform" dan TP adalah kekal RM21.20 sesaham, sambil menjangkakan jumlah runcit masih lemah pada FY25 disebabkan sentimen pengguna berhati-hati secara keseluruhan, tetapi diimbangi oleh struktur kos dioptimumkan syarikat.


"Bahagian komersial Petronas Dagangan dijangka kekal sebagai pemacu pertumbuhan volum dalam tempoh terdekat berikutan permintaan yang sihat," kata firma penyelidikan berkenaan.


Sementara itu, TA Securities mengunjurkan, kelompok 15 peratus teratas pendapatan isi rumah di negara ini masih tidak akan mengurangkan penggunaan mereka secara ketara walaupun terdapat rasionalisasi subsidi RON95 selepas ini.


Bagaimanapun, ia tidak menolak kemungkinan kerajaan meluaskan skop rasionalisasi tersebut kepada kumpulan berpendapatan lain, terutamanya dalam konteks memacu peralihan kepada mod pengangkutan yang lebih bersih seperti kenderaan elektrik dan pengangkutan awam.


"Kami telah menaikkan TP untuk Petronas Dagangan kepada RM19.10 sesaham daripada RM18.20, tetapi mengekalkan saranan "jual" ke atas saham itu memandangkan peningkatan terhad daripada paras harga saham semasa," kata firma berkenaan. - DagangNews.com