KUALA LUMPUR 21 Mei – Pekat Group Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM12.84 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, jatuh 6.4% berbanding RM13.73 juta suku sama tahun sebelumnya.
Penurunan ini berikutan faktor peningkatan kos kewangan ditanggung berjumlah RM1.63 juta, susulan faedah daripada pinjaman berjangka dan kemudahan pembiayaan perdagangan bagi pembinaan loji solar.
Projek tersebut ujarnya di bawah Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) di samping pengambilalihan bahagian peralatan pengedaran tenaga (PDE) yang mengurangkan prestasi keseluruhan bagi 1QFY26.
"Selain itu, penyusutan tersebut dipengaruhi kerugian pertukaran mata wang asing (forex) tidak direalisasikan yang lebih tinggi dalam perbelanjaan lain," maklum Pekat kepada Bursa Malaysia.
Bagaimanapun, dari segi hasil, kumpulan itu melaporkan pendapatan melonjak kira-kira 11.7% kepada sebanyak RM167.89 juta berbanding RM150.31 juta pada suku pertama tahun kewangan yang sebelumnya.
Bahagian solar kekal sebagai penyumbang utama hasil dengan naik 11.4% kepada RM103.38 juta, dipacu projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) solar berskala besar (LSS).
Tambah Pekat, segmen PDE dan perdagangan turut menunjukkan prestasi positif dengan peningkatan hasil masing-masing RM4.93 juta dan RM2.93 juta daripada tempahan lebih tinggi pada suku tersebut.
"Sebaliknya, bahagian perlindungan pembumian dan kilat (ELP) pula mencatatkan sedikit penurunan pendapatan sebanyak RM0.83 juta yang disebabkan oleh faktor masa pelaksanaan projek," katanya.
Mengenai prospek masa hadapan, kumpulan itu menjangkakan tempoh pertumbuhan secara mampan didorong oleh asas industri yang kukuh dan pesat dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) di Malaysia.
Pekat jelasnya, turut menyasarkan banyak peluang melalui program LSS akan datang, dan Skim Bekalan RE Korporat (CRESS), selaras sasaran kerajaan di bawah Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Lembaga Pengarah menyatakan keyakinan yang berhati-hati terhadap prestasi kumpulan bagi baki tahun kewangan 2026, dengan komitmen terus memperkukuh keupayaan kejuruteraan. - DagangNews.com








