KUALA LUMPUR 25 Feb — Pekat Group Berhad mengakhiri suku keempat berakhir 31 Disember 2024 (4QFY24) dengan peningkatan untung bersih lebih dua kali ganda kepada RM8.03 juta berbanding RM3.52 juta bagi suku sama tahun sebelumnya.
Hasi suku berkenaan turut meningkat 61.7 peratus kepada RM94.26 juta berbanding hanya RM58.29 juta pada 4QFY23.
Bagaimanapun tiada sebarang dividen yang diumumkan untuk suku terakhir tersebut. Pekat mengkhususkan perniagaannya dalam pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV), serta menyediakan sistem perlindungan bumi dan kilat (ELP).
Bahagian solarnya merupakan penyumbang utama pertumbuhan hasil, dengan peningkatan sebanyak RM16 juta, atau 41.4 peratus, disebabkan pelaksanaan projek yang lebih tinggi merentas segmen komersial, perindustrian dan kediaman.
Selain itu, bahagian dagangan dan ELP kumpulan juga mencatatkan peningkatan hasil yang ketara masing-masing sebanyak 70 peratus dan 36.9 peratus, berbanding 4QFY23.
"Bahagian ELP mendapat manfaat daripada peningkatan pelaksanaan projek, terutamanya untuk kerja pusat data, manakala bahagian perdagangan mengalami permintaan pelanggan yang lebih kukuh," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Bahagian peralatan pengagihan kuasa (PDE) yang baharu diperolehnya daripada Apex Power Industry Sdn Bhd, menyumbang pendapatan sebanyak RM9.85 juta untuk 4QFY24.
Bagi FY24, untung bersih kumpulan meningkat 65.5 peratus kepada RM22.76 juta daripada RM13.75 juta setahun lalu, manakala jumlah hasil meningkat 28 peratus kepada RM291.09 juta daripada hanya RM227.46 juta.
Dalam satu kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tai Yee Chee berkata, di bawah anak syarikat Apex Power EPE Switchgear Sdn Bhd, Pekat mampu berkembang di sepanjang infrastruktur grid dan segmen sistem pengagihan elektrik.
“Penyatuan perniagaan PDE ke dalam operasi sedia ada akan membolehkan kumpulan ini menawarkan rangkaian produk dan perkhidmatan lebih komprehensif, dan membolehkan jualan silang merentas rangkaian pelanggan lebih luas,” katanya.
Pekat juga ujarnya, menyasarkan pusingan bidaan LSS5+, yang akan memberikan kapasiti 2,000MW, diikuti LSS6, yang bidaannya dijangka pada suku kedua 2025, bersama-sama dengan pelaburan berterusan dalam projek pusat data di negara ini.
"Arah aliran mega tenaga global menyediakan prospek kuat untuk industri tenaga suria. Memandangkan tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas panel solar buatan China membebankan harga solar PV solar global, ini meningkatkan daya saing kos untuk pemaju dan kontraktor projek solar di rantau ini.
"Begitu juga peningkatan elektrifikasi di seluruh Malaysia dijangka menaikkan harga kadar elektrik yang berkaitan dengan grid dan menjadikan pemasangan PV solar semakin menarik," katanya.
Kumpulan itu sedang membangunkan dua loji kuasa solar 29.99 MWac di bawah Program Kuasa Hijau Korporat dengan salah satunya ialah pelaburan dalaman, yang dijangka meningkatkan pendapatan berulang apabila siap menjelang akhir 2025.
Satu lagi katanya, ialah projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) yang diterima baru-baru ini, dijangka memberi kesan positif kepada prestasi kewangan kumpulan untuk FY25. - DagangNews.com








