KUALA LUMPUR 23 April – Pantech Global Berhad mencatatkan peningkatan hasil bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2026, namun keuntungan bersih syarikat menunjukkan penurunan berbanding tempoh sama sebelumnya disebabkan tekanan kos operasi serta kesan pergerakan mata wang asing.
Syarikat itu merekodkan hasil sebanyak RM516.29 juta, meningkat berbanding tahun kewangan sebelumnya, didorong oleh pertumbuhan jualan serta pelarasan harga jualan purata yang lebih tinggi, termasuk kesan tarif Amerika Syarikat kepada pelanggan di pasaran eksport utama.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Pantech berkata, meskipun hasilnya meningkat, keuntungan selepas cukai susut kepada RM46.12 juta berbanding RM58.96 juta sebelumnya.
“Penurunan ini dipengaruhi oleh margin keuntungan yang lebih rendah, peningkatan kos operasi serta tekanan daripada turun naik kadar pertukaran asing.
“Bagi suku keempat berakhir 28 Februari 2026, kumpulan mencatatkan hasil sebanyak RM136.29 juta, meningkat berbanding suku sebelumnya, disokong oleh pertumbuhan volum jualan dan harga jualan purata yang lebih baik dalam segmen pasaran utama.
“Dari sudut pertukaran asing, syarikat merekodkan kerugian bersih tukaran asing yang memberi kesan kepada keuntungan suku tahun, termasuk kerugian direalisasi sebanyak RM11.4 juta dan keuntungan belum direalisasi RM4.18 juta, menjadikan impak bersih keseluruhan masih negatif terhadap pendapatan,” katanya dalam makluman tersebut.
Keuntungan pada tahun lepas lebih tinggi kerana syarikat menerima keuntungan khas sekali sahaja sebanyak RM52.34 juta daripada pengambilalihan syarikat lain menyebabkan prestasinya tidak boleh dibandingkan secara terus dengan tahun ini.
Dari segi pendapatan sesaham, syarikat merekodkan EPS sebanyak 5.43 sen bagi tahun kewangan penuh, manakala EPS suku keempat berada pada 1.34 sen, mencerminkan pulangan sederhana kepada pemegang saham.
Bagi kedudukan kewangan, jumlah aset kumpulan berjumlah RM724.04 juta yang merangkumi pegangan inventori, tunai serta aset tetap seperti loji dan mesin pengeluaran yang menjadi teras operasi utama syarikat.
Jumlah liabiliti pula direkodkan sebanyak RM194.33 juta, dengan sebahagian besar terdiri daripada pinjaman jangka pendek sebanyak RM121.74 juta, menunjukkan kebergantungan kepada pembiayaan modal kerja selain komitmen pajakan dan pinjaman jangka panjang yang lebih kecil.
Dari sudut aliran tunai, syarikat mencatatkan aliran tunai operasi positif sebanyak RM27.48 juta, namun aliran tunai pelaburan mencatatkan pengeluaran besar sebanyak RM124.01 juta susulan pembelian aset tetap dan pelaburan kapasiti pengeluaran baharu.
Inventori kumpulan turut meningkat kepada RM252.86 juta, manakala penghutang dagangan menurun kepada RM81.47 juta, mencerminkan perubahan dalam struktur modal kerja sepanjang tempoh kewangan berkenaan, selain pengurusan tunai yang stabil pada RM105.31 juta.
Bagi prospek, Pantech Global kekal optimis secara berhati-hati dengan memberi tumpuan kepada sektor minyak dan gas, petrokimia, tenaga dan pembinaan, di samping usaha memperluaskan pasaran eksport, walaupun berdepan cabaran kos operasi, ketidaktentuan geopolitik dan turun naik harga komoditi global.- DagangNews.com








