Untung bersih OSK Ventures jatuh 43% kepada RM13.4 juta bagi FY25 akibat pelarasan nilai portfolio | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih OSK Ventures jatuh 43% kepada RM13.4 juta bagi FY25 akibat pelarasan nilai portfolio

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 8 April —  OSK Ventures International Berhad mencatatkan kejatuhan keuntungan bersih sebanyak 43% kepada RM13.4 juta bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2025 (FY25).


Menurutnya, penurunan keuntungan berbanding tahun sebelumnya itu disebabkan oleh keuntungan nilai saksama bersih yang lebih rendah setelah dilaksanakan pelarasan pada segala portfolio pelaburan.


Sehubungan itu tambah kumpulan berkenaan, kemerosotan tersebut mencerminkan persekitaran penilaian pasaran yang sederhana di rantau ASEAN berbanding keuntungan luar biasa dicatatkan pada FY24.


"Hasil kumpulan susut kepada RM23.96 juta berbanding RM31.04 juta pada FY24, dipengaruhi pelarasan nilai portfolio dalam pasaran yang lebih konservatif," maklum OSK Ventures kepada Bursa Malaysia.


Tambahnya lagi, berdasarkan perkembangan tersebut, keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM13.4 juta adalah lebih rendah hampir separuh berbanding RM23.51 juta pada tahun kewangan sebelumnya.


Walaupun keuntungan bersih menyusut, jumlah aset kumpulan pelaburan itu naik 9.7% kepada RM344.88 juta, manakala nilai portfolio pelaburan keseluruhan berkembang 6.2% dan mencecah RM325.54 juta.

 

OSK Ventures_DagangNews


Aset bersih sesaham turut meningkat kepada RM1.43 daripada RM1.36 pada tahun kewangan sebelumnya, sekali gus menunjukkan daya tahan OSK Ventures dalam berdepan dengan pelbagai cabaran semasa.


"Fokus syarikat terarah kepada kecekapan modal dan model perniagaan yang terbukti menguntungkan meskipun disiplin pasaran menyebabkan penilaian jangka pendek menjadi sederhana," katanya.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amelia Ong Yee Min menyatakan, perkembangan perniagaan kumpulan sebenarnya sudah memperkukuhkan lagi asas pendekatan pelaburan syarikat yang mampan. 


Sepanjang 2025 jelas beliau, pihak pengurusan berjaya melaksanakan beberapa langkah strategik termasuk pelupusan penuh pegangan dalam Java Offshore yang menghasilkan pulangan munasabah.


Selain itu, OSK Ventures terus menyalurkan modal bagi pelaburan susulan dalam syarikat portfolio seperti Metier dan FastCo, manakala bagi FY25, Lembaga Pengarah tidak mencadangkan dividen akhir.


"Keputusan ini dibuat bagi membolehkan syarikat mengekalkan modal untuk merebut peluang pelaburan semula yang dilihat mampu memberikan nilai jangka panjang lebih tinggi kepada para pemegang saham.


Melangkah ke hadapan, kumpulan itu akan menumpukan kepada sektor teknologi perusahaan, teknologi kewangan (fintech) dan teknologi iklim, terutamanya di pasaran membangun. - DagangNews.com