Untung bersih Northern Solar meningkat 15.1% kepada RM4.2 juta bagi 2QFY2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Northern Solar meningkat 15.1% kepada RM4.2 juta bagi 2QFY2026

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Nov – Northern Solar Holdings Berhad mencatatkan prestasi kukuh bagi suku kedua tahun kewangan 2026 (2QFY2026) dengan mencatatkan hasil sebanyak RM28.1 juta, meningkat 13.0% tahun ke tahun daripada RM24.9 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, keuntungan selepas cukai (PAT) meningkat 15.1% kepada RM4.2 juta, terutamanya didorong oleh sumbangan lebih tinggi daripada projek kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) merentasi pelanggan komersial, industri, dan kediaman.

 

"Secara kumulatif, Kumpulan mencapai hasil 1HFY2026 sebanyak RM56.2 juta, mewakili pertumbuhan 40% tahun ke tahun, manakala PAT meningkat kepada RM8.1 juta berbanding RM7.4 juta sebelum ini. Margin keuntungan kasar kekal sihat pada 34.0%, mencerminkan harga yang stabil dan kawalan kos yang berdisiplin,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Kedudukan kewangan kumpulan juga semakin kukuh dengan baki tunai dan setara tunai mencecah RM55.9 juta serta nisbah hutang kepada ekuiti (gearing) rendah pada 0.11 kali. 

 

Aliran tunai operasi bagi separuh pertama FY2026 juga bertambah baik kepada RM10.5 juta, mengukuhkan keupayaan kumpulan untuk membida projek berskala besar.

 

Pengarah Urusannya, Lew Shoong Kai berkata, tempoh lima tahun akan datang menjanjikan pertumbuhan luar biasa bagi sektor tenaga boleh baharu negara.

 

"Permintaan terhadap penyelesaian solar terus kukuh dan prestasi projek kami kekal konsisten. 

 

“Dengan kedudukan kewangan yang lebih mantap, buku pesanan meningkat dan kemampuan menyediakan penyelesaian solar bersepadu dengan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), Northern Solar berada dalam kedudukan baik untuk merebut peluang dalam sektor solar negara," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pada suku berkenaan, Northern Solar memperoleh projek SELCO berasaskan tanah (ground-mounted) bersepadu dengan BESS di Pahang. 

 

Projek tersebut menjadi kelebihan kompetitif apabila dasar baharu 2025 membenarkan sistem berasaskan tanah, sistem terapung dan pemasangan sehingga 100% daripada permintaan elektrik.

 

Keupayaan kumpulan melaksanakan projek solar + BESS dijangka melonjakkan peluang mereka menjelang pelaksanaan peraturan mandatori BESS bermula Januari 2026 untuk sistem melebihi 72 kWp.

 

Industri solar negara memasuki tempoh pertumbuhan 2025–2029, disokong oleh beberapa pemacu utama termasuk harga panel solar yang berada pada titik terendah kitaran, pipeline projek besar di bawah LSS5, LSS5+ dan LSS6 bernilai RM15 bilion hingga RM18 bilion, serta usaha kerajaan mencapai sasaran campuran tenaga boleh baharu 70% menjelang 2050.

 

Northern Solar kini menumpukan penyertaan dalam tender SELCO dan utiliti selain mengembangkan strategi pendapatan berulang melalui pemilikan aset solar.

 

Kumpulan turut memiliki kelebihan melalui lembaran imbangan yang kukuh pasca-IPO, kepakaran EPCC + BESS bersepadu, margin lebih tinggi dalam segmen komersial dan industri, serta kerjasama strategik dengan NWEPDI dari China untuk potensi penyertaan dalam projek berskala utiliti.

 

Sehingga kini, Northern Solar telah menyiapkan lebih 2,000 projek tenaga solar merentasi segmen kediaman, komersial, industri, SELCO dan utiliti. - DagangNews.com