Untung bersih MNRB meningkat 21% kepada RM112.26 juta pada 2QFY2026, umum dividen 10 sen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih MNRB meningkat 21% kepada RM112.26 juta pada 2QFY2026, umum dividen 10 sen

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Nov – MNRB Holdings Bhd mencatat peningkatan keuntungan bersih sebanyak 21.1% pada suku kedua berakhir 30 September 2025 (2QFY2026) kepada RM112.26 juta berbanding RM92.74 juta setahun sebelumnya, didorong pulangan pelaburan yang lebih kukuh.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MNRB berkata, prestasi pelaburan yang lebih baik itu disokong oleh kerugian pertukaran asing yang belum direalisasikan lebih rendah ke atas aset luar negara serta keuntungan nilai wajar positif dalam portfolio ekuiti dan bon.

 

“Prestasi perkhidmatan insurans dan takaful sedikit perlahan pada suku ini kerana beberapa kontrak yang dijangka rugi perlu dicatat mengikut peraturan akaun moden MFRS 17.

 

“Syarikat perlu mengiktiraf beberapa tuntutan yang bakal dibayar melebihi premium yang diterima, walaupun operasi utama syarikat masih stabil,” katanya.

 

Pada suku tahun sebelumnya, kumpulan mendapat manfaat daripada pelarasan kontrak sedemikian, menjadikan angka perbandingan lebih tinggi.

 

MNRB berkata, jika kesan ini dikecualikan, prestasi perkhidmatan kekal stabil, mencerminkan ketahanan operasi teras syarikat. 

 

“Hasil bagi suku kedua meningkat 5.5% kepada RM927.58 juta berbanding RM878.82 juta, disokong oleh sumbangan kukuh daripada segmen takaful am, takaful semula dan takaful keluarga. 

 

“Bagi separuh pertama FY2026, keuntungan bersih MNRB melonjak 51.8% kepada RM280.69 juta berbanding RM184.94 juta setahun sebelumnya, manakala hasil meningkat 9.5% kepada RM1.9 bilion berbanding RM1.74 bilion,” kata MNRB.

 

Dividen sebanyak 10 sen diumumkan bagi suku berkenaan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Interim Kumpulan MNRB, Datuk Rudy Rodzila Che Lamin berkata, prestasi separuh pertama mencerminkan kekuatan pelaksanaan strategik dan ketahanan model perniagaan syarikat. 

 

“Pertumbuhan dua angka merentas metrik utama menonjolkan keberkesanan portfolio pelbagai kumpulan, penilaian risiko yang teliti dan pengurusan modal yang disiplin

 

“MNRB menjangkakan industri ini akan terus berkembang disokong oleh penambahbaikan peraturan, permintaan yang meningkat untuk perlindungan kewangan serta inisiatif kerajaan di bawah Bajet 2026, termasuk produk insurans mampu milik, reformasi kesihatan, dan langkah memperluas keterangkuman kewangan,” katanya. - DagangNews.com