KUALA LUMPUR 27 Mei — Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad (MHB) mencatatkan keuntungan bersih bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025 sebanyak RM12.24 juta, meningkat 17.41 peratus berbanding RM10.42 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Kumpulan penyedia rumusan tenaga dan marin itu berkata, perkembangan positif tersebut didorong oleh faktor peningkatan dalam kedua-dua segmen kejuruteraan berat dan marin.
Selain itu tambahnya, pendapatan sesaham syarikat berkenaan pula berada kira-kira 0.8 sen untuk tempoh 1QFY25 daripada sebanyak 0.7 sen bagi suku yang sama pada tahun sebelumnya.
"Hasil turun 53.98 peratus tahun ke tahun kepada RM453.1 juta berbanding RM984.47 juta, berikutan beberapa projek hampir siap," kata MHB dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Kesemua projek yang masih berlangsung itu kata kumpulan tersebut, membawa kepada aktiviti dan hasil yang lebih rendah, manakala projek baharu pula masih lagi di peringkat awal.
Tiada dividen diumumkan untuk suku semasa dalam semakan.
Kejuruteraan berat melonjak tinggi kira-kira tujuh kali ganda kepada sebanyak RM2.21 juta berbanding RM283,000 setahun lalu, disebabkan kejayaan penutupan projek selepas belayar.
"Sementara segmen marin meningkat kira-kira 26.05 peratus kepada sebanyak RM17.34 juta daripada RM13.79 juta didorong faktor aktiviti penukaran yang lebih tinggi," kata MHB.
Walaupun terdapat ketegangan perdagangan global yang berterusan dan potensi kenaikan tarif luar, syarikat itu berkata segmen kejuruteraan beratnya kekal berdaya tahan.
Bahagian tersebut katanya, disokong oleh buku tempahan yang kukuh dan usaha dilaksanakan oleh kumpulan berkenaan untuk meluaskan peluang dalam sektor tenaga baharu.
Bagi segmen marin pula kata syarikat tersebut, landskap yang berkembang pesat membentangkan banyak cabaran dan peluang.
Untuk memanfaatkan prospek baharu muncul serta menangani masalah semasa, MHB mengukuhkan keupayaan dalaman, meneruskan perkongsian strategik, serta meluaskan kehadiran pasaran bagi memperoleh banyak projek pembaikan dan penukaran bernilai tinggi. - DagangNews.com








