KUALA LUMPUR 14 Nov – Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MHB) mencatatkan lonjakan keuntungan bersih sebanyak 85.1% bagi suku ketiga tahun kewangan 2025, disokong oleh pelaksanaan projek yang lebih baik dalam segmen kejuruteraan berat, walaupun hasil kumpulan merosot hampir separuh.
Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025 (3QFY2025), MHB merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM28.27 juta berbanding RM15.27 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, pendapatan sesaham meningkat kepada 1.8 sen daripada satu sen.
“Segmen kejuruteraan berat menyumbang keuntungan operasi RM27.8 juta, meningkat daripada RM19.5 juta pada 3QFY2024, terutamanya hasil daripada pelaksanaan projek yang menguntungkan.
“Namun, hasil segmen menurun kepada RM393.8 juta daripada RM799.9 juta kerana projek yang hampir siap dan projek baharu masih berada pada peringkat awal pelaksanaan.
“Secara keseluruhan, hasil kumpulan menurun 43.8% kepada RM509.86 juta daripada RM906.46 juta setahun sebelumnya,” kata MHB.
Tiada dividen diumumkan bagi suku tersebut.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2025 (9MFY2025), MHB merekodkan keuntungan bersih RM50.56 juta, turun 49.2% berbanding tempoh yang sama tahun lalu akibat aktiviti yang lebih rendah ketika projek baharu masih dalam fasa permulaan.
Hasil bagi tempoh itu juga merosot kepada RM1.39 bilion daripada RM2.79 bilion pada 9MFY2024.
MHB menegaskan pihaknya akan terus memberi fokus kepada pelaksanaan selamat dan penghantaran tepat pada masanya dalam segmen kejuruteraan berat.
“Pada masa yang sama, kami akan meneroka peluang tambahan di peringkat domestik dan antarabangsa termasuk dalam sektor tenaga baharu.
“Segmen marin dijangka mengekalkan prestasi stabil melalui peningkatan kecekapan operasi dan kemampuan di pelantar kerja,” kata MHB.
Mengenai subkontrak bagi platform arus terus voltan tinggi luar pesisir di bawah program 2GW TenneT TSO GmbH pula, MHB menjelaskan bahawa penamatan skop kerja oleh TenneT tidak merujuk secara khusus kepada subkontraknya dengan Petrofac International (UAE) LLC.
MHB berkata, proses novasi sedang dijalankan untuk memastikan kesinambungan dan subkontrak itu dijangka menyumbang positif kepada pendapatan sehingga akhir FY2025. - DagangNews.com








