KUALA LUMPUR 28 April – LPI Capital Berhad mencatatkan peningkatan 1.5% keuntungan bersih kepada RM99.5 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, berbanding RM97.9 juta pada tempoh sama FY25.
Peningkatan prestasi ini didorong oleh pulangan lebih tinggi menerusi segmen pegangan pelaburan, terutamanya pendapatan dividen bebas cukai yang diterima daripada pelaburan ekuiti kumpulan itu.
Kumpulan tersebut menyatakan hasil turut berkembang kira-kira 6.3% kepada RM547.7 juta bagi tempoh tiga bulan di bawah tinjauan berkenaan, berbanding sebanyak RM515.1 juta dicatatkan sebelumnya.
"Pertumbuhan disumbangkan oleh prestasi segmen insurans am yang naik 6.2% kepada RM521.5 juta, dan segmen pegangan pelaburan yang melaporkan peningkatan sebanyak 8.3%," maklum LPI kepada bursa.
Segmen pegangan pelaburan mencatatkan peningkatan keuntungan sebelum cukai (PBT) kira-kira 10.8% kepada RM23.6 juta,, manakala segmen insurans am pula adalah sedikit rendah iaitu RM98.5 juta.
Jelasnya, penurunan kecil ini disebabkan kerugian nilai saksama bersih sebanyak RM6.1 juta dalam pelaburannya, berbanding keuntungan nilai saksama RM4.6 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Dalam pada itu, keuntungan sesaham (EPS) LPI adalah meningkat kepada 24.99 sen daripada 24.59 sen sebelum ini, namun tiada dividen interim yang diisytiharkan pihak pengurusan bagi suku tersebut.
"Mengulas mengenai prospek masa depan, kumpulan ini kekal berhati-hati terhadap cabaran berterusan seperti isu kemeruapan tuntutan, inflasi perubatan, dan risiko yang berkaitan iklim," tambahnya.
Di samping itu ujar kumpulan berkenaan, pihaknya turut berwaspada dengan ketidaktentuan geopolitik di rantau Timur Tengah yang boleh memberi kesan negatif tidak langsung kepada industri insurans.
Bagaimanapun kata LPI, kumpulan tersebut akan terus memperkukuhkan bahagian pasarannya melalui langkah perluasan rangkaian agensi dan jalinan kerjasama strategik dengan Public Bank Berhad.
Selain itu jelasnya, mereka sudah mula menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan automasi proses robotik bagi meningkatkan kecekapan operasi harian. - DagangNews.com








