Untung bersih Lianson Fleet melonjak 53% kepada RM28.1 juta pada 3QFY2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Lianson Fleet melonjak 53% kepada RM28.1 juta pada 3QFY2025

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 27 Nov – Lianson Fleet Group Berhad (LFG) mencatat prestasi kewangan suku ketiga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (3QFY2025) yang lebih kukuh dengan keuntungan selepas cukai meningkat 53.4% kepada RM28.1 juta berbanding RM18.3 juta pada suku yang sama tahun lalu.

 

Pendapatan Kumpulan bagi suku ini meningkat 16.3% kepada RM82.1 juta berbanding RM70.6 juta sebelumnya, disokong oleh kadar sewa harian yang lebih tinggi dan penggunaan armada yang bertambah daripada 78% kepada 82% berikutan penggunaan kapal baharu yang diperoleh. 

 

Selain itu, LFG berkata, ia turut merekodkan keuntungan daripada penjualan kapal Omni Victory.

 

“Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2025, LFG mencatat pendapatan RM204.1 juta, meningkat 29.2% berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya. 

 

“Keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat 769.2% kepada RM61 juta manakala keuntungan selepas cukai (PAT) melonjak lebih 170 kali ganda kepada RM54.9 juta.

 

“Ini menunjukkan peningkatan ketara hasil daripada pengukuhan operasi dan sumbangan positif portfolio perniagaan yang dipelbagaikan,” kata LFG dalam makluman tersebut.

 

Kumpulan telah mengumumkan dividen interim ketiga sebanyak satu sen sesaham, bernilai kira-kira RM11.2 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, sebagai komitmen untuk memberikan pulangan konsisten kepada pemegang saham.

 

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif LFG, Lim Chern Wooi berkata, prestasi kewangan sembilan bulan pertama menunjukkan kejayaan strategi Kumpulan dalam mempelbagaikan pendapatan.

 

“Transformasi ini telah meletakkan LFG sebagai pemain aset marin yang dinamik dengan armada yang lebih cekap dan portfolio perniagaan yang pelbagai.

 

“Kami juga sedang meluaskan kehadiran serantau melalui kemasukan strategik ke Vietnam dalam sektor pelabuhan dan logistik serta memperluas perkhidmatan luar pesisir khususnya dalam rig jack-up. 

 

“Dengan asas kukuh dan strategi pelaksanaan yang jelas, LFG berada pada kedudukan yang baik untuk membina momentum dan merebut peluang di pasaran sambil menyampaikan nilai mampan kepada pemegang saham,” katanya.

 

LFG, sebelum ini dikenali sebagai Icon Offshore Berhad memiliki pengalaman operasi lebih 30 tahun dalam perkhidmatan marin dan pengangkutan. - DagangNews.com