Untung bersih Kimlun naik 110% kepada RM106.8 juta bagi FY25, dipacu prestasi kukuh semua bahagian | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Kimlun naik 110% kepada RM106.8 juta bagi FY25, dipacu prestasi kukuh semua bahagian

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 11 MeiKimlun Corporation Berhad mencatatkan peningkatan kira-kira 110.38% keuntungan bersih kepada RM106.83 juta bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2025 (FY25).


Perkembangan positif itu berbanding hanya RM50.78 juta dicatat pada tahun kewangan sebelumnya (FY24) didorong terutama jualan luaran lebih kukuh dalam semua bahagian perniagaan aktif kumpulan.


Hasil syarikat berkenaan turut melonjak kira-kira 59.5% kepada RM1.93 bilion berbanding sebanyak RM1.21 bilion pada FY24, dengan pertumbuhan pendapatan dilaporkan meliputi semua segmen operasi.


"Keuntungan kasar juga naik lebih dua kali ganda kepada RM234.68 juta, disokong oleh yang lebih baik iaitu 12.2% berbanding hanya 8.2% pada tahun sebelumnya," kata Kimlun kepada Bursa Malaysia.


Tambahnya, prestasi hasil segmen pembinaan kumpulan berkenaan turut meningkat susulan baki tempahan sedia ada yang besar serta kemenangan banyak projek baharu berjumlah RM2.8 bilion sepanjang FY25.


Sementara itu ujar kumpulan tersebut, segmen pembuatan dan perdagangan juga mencapai hasil yang lebih tinggi melalui pecutan pengeluaran dan pemenuhan tempahan sedia ada pada tahun tersebut.


Kimplun turut memaklumkan yang segmen pembangunan hartanah menyaksikan pertumbuhan disokong oleh pelancaran dan jualan projek pangsapuri perkhidmatan Pinegate Residency di Johor Bahru, Johor.


"Lembaga Pengarah mengesyorkan pembayaran dividen satu peringkat sebanyak 4.0 sen sesaham bagi FY25, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham pada Mesyuarat Agung Tahunan akan datang," katanya.


Mengenai prospek masa hadapan tambahnya, kumpulan mempunyai baki tempahan pembinaan berjumlah RM4.47 bilion dan tempahan pembuatan mencecah sebanyak RM0.26 bilion setakat 31 Disember 2025.


Nilai yang besar ini, bersama dengan jualan hartanah tidak dibilkan sebanyak RM692 juta, dijangka memberikan keterlihatan pendapatan kukuh untuk beberapa tahun akan datang. - DagangNews.com