Untung bersih Ibraco naik 51% kepada RM77 juta bagi FY25 didorong prestasi kukuh pembinaan di Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Ibraco naik 51% kepada RM77 juta bagi FY25 didorong prestasi kukuh pembinaan di Sarawak

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 23 AprilIbraco Berhad mencatatkan kenaikan ketara keuntungan bersih kira-kira 51.1% bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2025 (FY25) kepada sebanyak RM76.6 juta.


Pertumbuhan luar biasa berbanding RM50.7 juta dicatatkan pada tahun sebelumnya itu dipacu oleh sumbangan tinggi segmen pembinaan melalui pelaksanaan projek infrastruktur utama di Sarawak.


Katanya, peningkatan jualan dalam segmen pembangunan hartanah, serta perolehan melalui pendapatan lain yang merangkumi pampasan bagi tanah diambil alih kerajaan negeri turut menjana keuntungan.


"Hasil kumpulan ini bagi FY25 turut naik kira-kira 36.6% dengan mencecah sebanyak RM769.0 juta berbanding hanya RM562.8 juta pada FY24," kata Ibraco dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia.


Segmen pembinaan kini menjadi penyumbang hasil terbesar iaitu 54.6%, didorong oleh kemajuan projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) Blue Line Pakej 1 dan Projek Jalan Utama Kedua Sarawak.

 

Ibraco_DagangNews


Sementara segmen pembangunan hartanah menyumbang sebanyak RM300.5 juta kepada hasil keseluruhan, dengan projek The NorthBank di Kuching masih kekal sebagai penyumbang utama iaitu kira-kira 48.6%.


"Berdasarkan prestasi itu, Lembaga Pengarah Ibraco mencadangkan dividen akhir satu peringkat sebanyak 4 sen sesaham, yang membawa kepada jumlah pembayaran kira-kira RM21.84 juta," jelasnya.


Mengulas mengenai prospek masa depan, syarikat itu kekal optimis memanfaatkan pelaburan prasarana berterusan di Sarawak, khususnya dalam projek berkaitan air, pengangkutan, dan lapangan terbang.


Kumpulan berkenaan juga tambahnya, akan meneruskan fasa pembangunan perbandaran yang bersepadu seperti NorthBank dan Arden City selaras dengan keadaan pasaran semasa dalam tempoh terdekat.


Dengan model perniagaan pelbagai meliputi pembinaan, hartanah, pembuatan, dan kuari, Ibraco berada pada kedudukan strategik meraih peluang pertumbuhan bandar yang mampan. - DagangNews.com