Untung bersih FY25 United Plantations cecah RM830 juta, terbaik dalam 120 tahun operasi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih FY25 United Plantations cecah RM830 juta, terbaik dalam 120 tahun operasi

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 23 FebUnited Plantations Bhd mencatatkan prestasi terbaik dalam tempoh 120 tahun operasinya apabila keuntungan bersih melonjak 15% kepada RM830 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY2025) berbanding RM719 juta pada tahun sebelumnya.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, prestasi tersebut didorong hasil pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) yang mencatat rekod tertinggi, selain harga komoditi yang lebih kukuh.

 

Hasil kumpulan meningkat 14% kepada RM2.51 bilion berbanding RM2.2 bilion pada TK2024.

 

Menurut laporan itu lagi, kumpulan mencatat hasil MSM sebanyak 6.58 tan metrik sehektar meskipun berdepan cabaran termasuk persaingan sengit di peringkat hiliran serta banjir besar pada November lalu. Pendapatan sesaham bagi TK2025 ialah RM1.33.

 

Lembaga pengarah mengisytiharkan dividen khas 30 sen dan dividen akhir 51 sen, menjadikan jumlah dividen keseluruhan 125 sen sesaham bagi TK2025. Bayaran akhir berjumlah hampir RM504 juta akan dibuat pada 8 Mei 2026.

 

Sehingga 31 Disember 2025, kedudukan tunai kumpulan berjumlah RM428 juta berbanding RM487 juta pada tahun sebelumnya, susulan aktiviti lindung nilai, perbelanjaan modal dan pembelian 50% kepentingan dalam Arcadia Estate (North Arcadia) bernilai RM76.8 juta.

 

Pengambilalihan ladang seluas 600 hektar yang berkuat kuasa 1 Januari 2026 itu meningkatkan bank tanah United Plantations di Malaysia sebanyak 1.4% kepada 45,024 hektar.

 

Secara keseluruhan, kumpulan mengusahakan 62,500 hektar ladang di Malaysia (83%) dan Indonesia (17%) dengan jumlah tenaga kerja seramai 6,926 orang.

 

Naib Pengerusi dan Ketua Pengarah Eksekutif, Datuk Carl Bek-Nielsen berkata program penanaman semula akan dimulakan tahun ini menggunakan bahan tanaman hasil tinggi keluaran sendiri, dengan peningkatan hasil dijangka dalam tempoh lima hingga enam tahun.

 

Menurutnya, pengambilalihan tersebut dijangka mewujudkan sinergi dan ekonomi skala yang lebih baik, selain mengukuhkan strategi pertumbuhan jangka panjang kumpulan.

 

Mengulas prospek 2026, kumpulan menjangkakan persekitaran operasi lebih mencabar susulan ketegangan geopolitik, dasar tarif serta ketidaktentuan ekonomi global yang boleh mempengaruhi permintaan dan harga minyak sawit.

 

Faktor lain termasuk mandat biodiesel Indonesia, turun naik pengeluaran di Malaysia dan Indonesia serta pertumbuhan ekonomi global yang akan menentukan keseimbangan bekalan dan permintaan komoditi tersebut. - DagangNews.com