KUALA LUMPUR 25 Nov – Untung bersih FM Global Logistics Holdings Berhad meningkat kepada RM8.71 juta pada suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY26) berbanding RM7.26 juta pada suku pertama tahun kewangan sebelumnya (1QFY25).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, FM Global berkata, peningkatan ini menunjukkan prestasi syarikat yang lebih baik dengan pertumbuhan sebanyak kira-kira 20% berbanding tahun sebelumnya.
“Keuntungan sebelum cukai meningkat kepada RM12.82 juta, naik 8% berbanding RM11.86 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
“Hasil bagi suku semasa berjumlah RM235.22 juta, menurun 7% berbanding RM253.71 juta pada 1QFY25, disebabkan turun naik aktiviti perniagaan dalam tempoh tersebut.
“Bagaimanapun, peningkatan margin kasar dari operasi di Malaysia dan luar negara menyumbang kepada peningkatan keuntungan sebelum cukai,” katanya dalam makluman tersebut.
FM Global menyediakan perkhidmatan logistik dan pengangkutan komprehensif merangkumi laut, udara, darat serta perkhidmatan gudang dan pengedaran di Malaysia, Australia, Indonesia, Thailand, Vietnam, India, Amerika Syarikat dan Singapura.
Dari segi segmen perniagaan, perkhidmatan pengangkutan antarabangsa menyumbang RM179.8 juta kepada hasil, manakala logistik domestik mencatat RM55.4 juta.
Berbanding suku sebelumnya (4QFY25), hasil meningkat sebanyak 2% susulan peningkatan aktiviti perniagaan, sementara keuntungan sebelum cukai meningkat 17% daripada RM10.9 juta.
FM Global memiliki aset berjumlah RM862.91 juta, manakala jumlah liabiliti adalah RM417.45 juta.
Syarikat itu tidak mengumumkan sebarang dividen bagi suku ini.
FM Global berkata, jumlah keseluruhan pinjaman kumpulan meningkat kepada RM232.63 juta berbanding RM217.65 juta pada suku sebelumnya.
“Prestasi kumpulan dijangka kekal positif walaupun terdapat ketidaktentuan dalam ekonomi global.
“Syarikat berhasrat untuk terus mengukuhkan kehadiran serantau dengan memperluas pangkalan pelanggan, sambil mengekalkan penekanan kepada kecekapan kos dan pengurusan kewangan yang berdisiplin,” katanya. - DagangNews.com








