Untung bersih Cuckoo Malaysia susut 10% kepada RM25 juta bagi 1QFY26 akibat permintaan lemah pengguna | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Cuckoo Malaysia susut 10% kepada RM25 juta bagi 1QFY26 akibat permintaan lemah pengguna

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 18 MeiCuckoo International (MAL) Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM25.0 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, susut 10.2% berbanding RM27.8 juta pada tempoh sama FY25.


Jelas kumpulan itu, penurunan keuntungan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh faktor permintaan pengguna yang lebih lemah serta peningkatan ketara dalam kerugian rosak nilai instrumen kewangan.


Pendapatan kumpulan bagi 1QFY26 turut menyusut 23.1% kepada RM227.8 juta daripada RM296.3 juta pada 1QFY25, berpunca daripada jumlah jualan lebih rendah berikutan sentimen pasaran semakin mencabar.


"Kerugian bersih atas rosak nilai instrumen kewangan pula didapati melonjak kira-kira 47.7% kepada RM18.5 juta berbanding sebanyak RM12.5 juta bagi suku sama tahun lalu," maklum Cuckoo kepada bursa.


Syarikat menjelaskan situasi ini mencerminkan corak pembayaran balik lebih perlahan dalam kalangan pengguna yang mengutamakan perbelanjaan bagi persiapan Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri.


Di sebalik penurunan hasil, nisbah keuntungan kasar (GP) menunjukkan peningkatan daripada 31.0% kepada 38.3%, dipacu pengukuhan ringgit mengimbangi kos produk dan kecekapan pemerolehan pelanggan.


Ujar Cuckoo, kos pengedaran dan pentadbiran masing-masing berjaya dikurangkan sebanyak 7.3% dan 14.5% melalui strategi pengawalan pemasaran yang lebih fokus dan pengoptimuman tenaga kerjanya.


"Justeru, kumpulan kekal optimis secara berhati-hati terhadap prospek jangka panjangnya dengan memanfaatkan model perniagaan berasaskan sewaan yang semakin menjadi pilihan pengguna," katanya.


Ia juga jelasnya, kini sedang memperluaskan segmen pelanggan korporat melalui pelantikan rasmi sebagai rakan strategik kerajaan bagi aktiviti kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).


Ini membolehkannya menembusi sektor perhotelan dan restoran, selain bekerjasama dengan Samsung melalui program 'Smart Healthy Home' menerusi pelancaran stok simpanan baharu. - DagangNews.com