KUALA LUMPUR 5 Jun - IOI Properties Group Bhd (IOIPG) kembali menyertai indeks FBM KLCI selepas lebih sedekad disingkirkan daripada indeks tersebut, dengan menggantikan Sime Darby Bhd sebagai salah satu konstituen indeks utama pasaran saham Malaysia itu.
Dalam kenyataan bersama, penyedia indeks FTSE Russell dan Bursa Malaysia berkata, Sime Darby akan disingkirkan ke Indeks FBM Mid 70 susulan semakan separuh tahunan bagi Siri Indeks FTSE Bursa Malaysia.
Sime Darby bagaimanapun, dimasukkan ke dalam senarai simpanan FBM KLCI yang terdiri daripada lima syarikat bukan konstituen terbesar berdasarkan permodalan pasaran, bersama KPJ Healthcare Bhd, QL Resources Bhd, United Plantations Bhd dan Westports Holdings Bhd.
Syarikat lain yang akan menyertai Indeks FBM Mid 70 ialah AirAsia X Bhd, Allianz Malaysia Bhd, Ranhill Utilities Bhd dan Solarvest Holdings Bhd, menggantikan CTOS Digital Bhd, Genting Plantations Bhd, Nationgate Holdings Bhd dan Tropicana Corp Bhd.
Sementara itu, Indeks FBM Hijrah Syariah menyaksikan kemasukan Sunway Healthcare Holdings Bhd dan Tanco Holdings Bhd.
Perubahan itu dibuat susulan pengeluaran Eco-Shop Marketing Bhd dan Zetrix AI Bhd daripada indeks pelaburan patuh syariah yang merangkumi 30 saham tersebut.
Semua perubahan konstituen itu akan berkuat kuasa mulai 22 Jun 2026.
Semakan Dua Kali Setahun
“Siri Indeks FTSE Bursa Malaysia disemak dua kali setahun berdasarkan metodologi FTSE Russell yang telus dan berasaskan peraturan.
"Penilaian dibuat terhadap syarikat mengikut kriteria yang ditetapkan termasuk permodalan pasaran, pegangan awam bebas (free float) dan kecairan dagangan bagi memastikan setiap indeks terus mencerminkan keadaan sebenar pasaran ekuiti Malaysia,” kata FTSE Russell dan Bursa Malaysia dalam kenyataan bersama.
Semakan seterusnya dijadualkan berlangsung pada Disember 2026. - DagangNews.com








