MISC perbaharui sewaan Menara Dayabumi dengan PETRONAS menerusi perjanjian 15 tahun bernilai RM433 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MISC perbaharui sewaan Menara Dayabumi dengan PETRONAS menerusi perjanjian 15 tahun bernilai RM433 juta

Menara Dayabumi di ibu negara. - Gambar iStock

KUALA LUMPUR 5 Jun - MISC Bhd memperbaharui perjanjian sewaan ruang pejabatnya di Menara Dayabumi, Kuala Lumpur dengan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) menerusi perjanjian penyewaan jangka panjang yang dianggarkan bernilai RM433 juta bagi tempoh 15 tahun.

 

Syarikat perkapalan berkaitan tenaga itu berkata, melalui perjanjian penyewaan jangka panjang tersebut, MISC dapat memperkukuh penjenamaan dan identiti korporatnya sama ada di dalam bangunan mahupun secara luaran, di samping menegaskan komitmennya untuk terus beroperasi di bangunan ikonik berkenaan.

 

Menurutnya, langkah itu juga mencerminkan sokongan syarikat terhadap usaha memelihara bangunan yang mempunyai nilai sejarah penting di Kuala Lumpur.


 

misc

 


“Pada masa yang sama, PETRONAS komited melaksanakan kerja-kerja naik taraf menyeluruh ke atas kawasan umum dan kemudahan dalam bangunan bagi meningkatkan prestasi operasi, memperbaik pengalaman pengguna serta memastikan bangunan itu selari dengan piawaian keselamatan dan kemampanan semasa,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Tempoh perjanjian selama 15 tahun itu merangkumi tempoh awal tiga tahun diikuti empat tempoh pembaharuan automatik berturut-turut selama tiga tahun setiap satu.

 

MISC turut memaklumkan, beberapa transaksi melibatkan kepentingan PETRONAS dan syarikat itu telah dilaksanakan dalam tempoh 12 bulan sebelum pengumuman tersebut, dengan jumlah nilai transaksi mencecah RM65.81 juta. - Bernama